DALAM bola sepak anda memerlukan sedikit tuah dan perlu mengunakan kesempatan yang diberikan oleh jurulatih dengan sebaik-baiknya.
Itu kata jurulatih pembangunan bola sepak dari Sarawak, Mohd Hakimi Man yang bertanggungjawab mengetengahkan Gabriel Nistelrooy Tamin untuk hadir trial di Johor Darul Ta’zim (JDT) kerana menyakini bakat dimiliki pemain asal Miri itu.
Kelmarin, portal ini melaporkan penyerang gantian JDT II, Gabriel Nistelrooy yang gembira apabila dapat meledak gol kemenangan pada hujung permainan untuk menghadiahkan tiga mata berharga buat pasukannya.
Tuan rumah mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke atas Selangor II dalam aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), pada Jumaat.
“Gabriel Nistelrooy perlu berterima kasih kepada jurulatih JDT II yang berasal dari Argentina, coach Mariano Echeverria kerana sentiasa percaya kepada kemampuannya. Tidak kira dia diturunkan sebagai kesebelasan utama ataupun diturunkan seminit dalam satu perlawanan. Anda perlu memberikan yang terbaik.
“Dalam bola sepak tiada yang mustahil, saya sentiasa mengikuti rapat melihat cara Gabriel dikembangkan potensinya di JDT II.
“Dari segi fizikal ternyata dia sudah banyak berubah di bawah kendalian jurulatih kecergasan yang berasal dari Sepanyol, coach David Agusti Martinez,” katanya kepada Flash Sukan.
Apa yang menarik kata Mohd Hakimi yang juga merupakan pencari bakat, bekas pelajar Kolej Vokasional Miri itu melalui proses yang betul dan naik tahap demi tahap.
Bermula di JDT sebagai pemain JDT IV 2018, JDT III 2019 kerana prestasi yang baik, dia mula turun naik di JDT III / II bermula 2020 hingga kini.
“Bercerita tentang prestasi semasa Gabriel, sudah pasti saya menyatakan dia bertuah di JDT kerana dikelilingi oleh pemain import dan tempatan yang berkualiti waima di JDT II.
“Antaranya Fernando Rodriguez, Moussa Sidebe, Bienvenido Maranon, Ahmad Hazwan Bakri dan Muhammad Ramadhan Saifullah. Semua mereka memiliki naluri yang tajam di depan pintu gol dan ianya pasti membantu Gabriel dari semua aspek dari segi penyudah.
“Walau apa pun yang terhidang di depan mata, hanya kita sendiri yang menentukan hala tuju kita dengan kekal berdisiplin, berkerja keras, sentiasa fokus dan yang paling penting berjiwa besar,” ujarnya lagi.
Menurut Mohd Hakimi, Gabriel hadir ke JDT pada usia 18 tahun hanya sebagai pemain dari sebuah sekolah biasa (Kolej Vokasional Miri) bukannya dari Akademi Mokhtar Dahari, Program NFDP mahu pun akademi bola sepak tersohor.
“Bila anda berhati besar dan menjiwai kenapa saya bermain bola sepak anda akan menghargai setiap peluang yang hadir dan berjuang untuk kekal dalam saingan di pentas tertinggi.
“Dengan rendah hati saya katakan, terima kasih JDT kerana memberikan ruang untuk pemain biasa seperti Gabriel berada dalam keluarga besar JDT.
“Anak Iban ini seperti seorang wira kaum Iban di Sarawak, pahlawan Rentap dan Leftenan Kanang Anak Langkau yang dikenali dengan semangat juang luar biasanya,” katanya.