PENYERANG Negeri Sembilan FC, Sean Eugene Selvaraj mendedahkan dia melakukan banyak latihan untuk melakukan rembatan ‘knuckle ball‘ semasa sesi latihan.
Namun, dia tidak menyangka gol sebegitu cantik dan menarik dapat dihasilkan menerusi tendangannya. Doa ibu merupakan antara kunci gol tersebut berjaya dihasilkan.
Tambahnya, dia gembira kerana telah membuktikan kepada peminat bahawa dia mampu untuk menjaringkan gol setelah segelintir tidak mempercayai kemampuannya sebagai penyerang sebelum ini.
Sean juga berkata pasukan hanya meletakkan sasaran untuk seri menentang Selangor FC, namun ianya bonus jika berjaya mendapat kemenangan.
“Saya rasa semua pemain tahu bagaimana saya berlatih sangat keras untuk membuat knuckle ball. Sebaik saja saya mendapat bola, saya sasarkan ke gol dan serahkan ia kepada tuhan. Ibu saya telah mendoakan saya untuk menjaringkan gol, terima kasih ibu, ia menjadi kenyataan.
“Saya ada sesuatu untuk dibuktikan. Tiada peribadi kepada Selangor tetapi, kepada mereka yang tidak mempercayai saya, saya begitu gembira kerana berpeluang menjaringkan gol yang sangat cantik.
“Ia tidak mudah untuk ke Liga Super dan lakukan apa yang terjadi. Kita harus berikan kredit kepada semua pemain. Selangor sangat baik di laman sendiri. Seri sudah cukup baik bagi kami, namun kemenangan adalah satu bonus,” kongsinya kepada Flash Sukan setelah tamat perlawanan.
Kejayaan tersebut meletakkan Negeri Sembilan FC meneruskan cengkaman di tangga ketiga liga dengan 26 mata, berbaki lapan perlawanan sebelum saingan tamat.