PENJAGA gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias yang mengalami kecederaan di kepala ekoran berlaga dengan Shane Lowry ketika perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC semalam sudah menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang positif.

Ini selepas Farizal sendiri memuat naik kenyataan tentang keadaan diri beliau di insta story miliknya yang menyatakan dirinya kini semakin baik.

“Alhamdulillah keadaan saya semakin baik. Terima kasih pada yang mendoakan saya terutama keluarga, peminat dan penyokong bola sepak tanah air, JDT Family dan juga kepada seorang yang sentiasa ada bersama, TMJ.”

Dalam insiden pada minit ke-61 itu, Farizal segera dikejarkan ke hospital dan dipantau oleh pasukan perubatan JDT yang menjalankan beberapa ujian perubatan.

Pemilik JDT, DYAM Tunku Ismail juga bergegas ke hospital sejurus perlawanan untuk melihat sendiri keadaan kapten pasukan Harimau Selatan itu dan ianya mendapat pujian daripada semua peminat bola sepak tempatan.