PENJAGA gol Palestin, Rami Hamada menganggap Malaysia sebagai ‘rumah kedua’ buat pasukan Palestin.

Tatkala negara itu sedang digolak dengan peperangan yang dilakukan oleh rejim Zionis, Malaysia menerusi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersetuju untuk menjadi tuan rumah berkecuali buat pasukan bola sepak Palestin.

“Kami telah berada disini (Malaysia) dan berlatih selama seminggu. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana memberikan peluang untuk kami bermain disini.

“Saya menjangkakan kehadiran penyokong Malaysia ke stadium untuk memberi sokongan kepada pasukan kami,” katanya dalam sidang media semalam.

Beliau juga menambah bahawa Palestin masih lagi menghormati status Jordan sebagai salah satu pasukan terbaik di Asia.

Rami Hamada bersama pengendali Palestin, Makram Daboub dalam sidang media semalam.

“Bermain menentang Jordan yang merupakan pasukan yang hebat dan bagi kami, mereka adalah pasukan ketiga terbaik di Asia.

“Kami amat menghormati mereka (Jordan), dan aksi sengit bakal disajikan di atas padang pada perlawanan esok (hari ini) serta kami akan berikan segala yang terbaik yang kami ada.

”Kami berjaya mencuri satu mata menentang Korea Selatan dan berharap mampu untuk meraih tiga mata pada aksi kali ini (menentang Jordan),” katanya semalam.

Perlawanan aksi kedua Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 diantara Palestin dan Jordan bakal berlangsung jam 10 malam ini di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.