KAPTEN pasukan Bawah 19 Tahun (B-19) kebangsaan Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri meluahkan kesyukuran apabila berjaya membantu pasukan negara merangkul kejuaraan Piala AFF B-19 yang berlangsung di Bekasi, Indonesia.
Komitmen yang ditunjukkan pemain ini sepanjang perlawanan akhir bertemu Laos itu mencuri perhatian sehingga Aysar dinobatkan sebagai Pemain Terbaik di pentas akhir.
“Alhamdullilah kami telah mencipta sejarah memenangi AFF 2022. Terutama sekali saya ingin mengucapkan Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) kerana melepaskan kami pemain dari JDT, semua kelab di Malaysia. Saya ‘highlight’ Tunku Mahkota Johor kerana saya dari JDT.
“Jadi perasaan saya susah untuk diungkapkan. We did well. All the players, all the coaches… discipline. We did everything we planned. Dan ianya berhasil. Susah nak ungkapkan perasaan ini, tapi kami menikmati perasaan dan kejayaan yang kami cipta,” kongsinya dalam satu rakaman selepas perlawanan.
Pemain tengah ini juga mengakui tidak menjangka untuk meraih trofi pemain terbaik.
“Saya tidak aspek untuk mendapat pemain terbaik, tetapi anugerah Tuhan… rezeki saya untuk menjadi pemain terbaik. Saya perlu memberi kredit kepada semua pemain, barisan kejurulatihan dan pengurusan.
“Semestinya kejayaan yang saya perolehi kali ini memberi semangat untuk membina nama di pentas bola sepak di Malaysia dan seluruh Asia, Saya akan tetap bekerja kerana membina nama bermain demi pasukan saya Johor Darul Ta’zim dan negara. Jadi ia akan menjadi satu titik permulaan untuk kehidupan karier saya sebagai pemain bola sepak,” tambahnya.
Skuad kendalian Hassan Sazali Mohd Waras ini berjaya menewaskan Laos dengan dua gol, hasil jaringan Faiz Amer Runnizar dan Aliff Izwan Yuslan.
Untuk rekod, kali terakhir skuad Bawah 19 Tahun negara merangkul kejuaraan ini adalah pada edisi 2018.