LEMBAGA Pengarah Kedah Darul Aman Football Club (KDA FC) mengumumkan peletakkan jawatan Khamal Idris Ali sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kedah FC untuk bagi tumpuan sepenuhnya terhadap perniagaan beliau.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan ke laman media rasmi Kedah FC, Khamal tidak lagi bersama Kedah juga di atas rasa tanggungjawab dalam memberi peluang kepada individu yang lebih berkelayakan untuk menggantikan posisi beliau di Kedah.

Khamal yang dilantik sejak tahun 2020 telah memperlihatkan pasukan Kedah FC sebagai satu pasukan yang kuat sejurus meletakkan tanda aras baharu buat bekas pasukannya dalam dunia bola sepak.

“Perubahan ketara di Kedah telah dipamerkan dari awal kepimpinannya sekali gus dapat dibuktikan apabila Kedah berjaya meraih gelaran Naib Juara Liga Super pada musim 2020, diikuti dengan pencapaian cemerlang pada musim-musim seterusnya.

“Selain keringat beliau di atas padang, Khamal juga telah memberikan sumbangan besar di luar lapangan.

“Hasilnya, Pejabat Pengurusan KDA FC di Wisma Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah, kerjasama strategik dengan UiTM Perlis dan peningkatan pusat latihan adalah antara pencapaian beliau,” menurut kenyataan yang dimuat naik pada Khamis.

Sementara itu, difahamkan bahawa Khamal turut tidak mensisihkan penyokong bola sepak Kedah dengan wujudnya kad keahlian dan Kepak Kenari, kelab penyokong eksklusif KDA FC.

“Tambahan lagi, beliau ada membuka peluang kepada golongan muda untuk menonjolkan bakat mereka melalui kerjasama dengan Kota Setar Kids FC (KSKFC) dan SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman (TATAR).

“Tidak lupa juga, dalam dunia e-Sports, Khamal telah menjadikan KDA FC sebagai peserta utama di kejohanan-kejohanan e-MFL (Liga Malaysia).

“Terutama sekali, selama tiga tahun berturut-turut ini Khamal berjaya mencorakkan kelab Kedah dengan memimpin proses perlesenan kelab serta memastikan KDA FC terus bersinar di Liga Malaysia dan Piala AFC,” katanya.

Maka wajarlah pihak pengurusan dan penyokong-penyokong KDA FC mengirimkan ucapan ‘Terima Kasih’ buat Khamal kerana sudah berusaha sedaya upaya untuk memacu skuad Kedah ke arah yang lebih baik dan cemerlang.