KEMASUKAN Romel Morales mencetuskan fenomena buat penyokong Harimau Malaya selepas menyumbat gol penyamaan saat akhir untuk mengelak kekalahan kepada Korea Selatan.

Ketika pemain Taegeuk Warriors bersiap sedia meraikan kemenangan, pemain naturalisasi negara berusia 26 tahun itu mendapat satu peluang dan berjaya menembusi jaring lawan sekali gus mengakhiri perlawanan dengan keputusan seri.

“Anda tahu, kami mahu membanggakan negara dan memberikan segala-galanya serta tunjukkan kepada semua orang kita boleh melawan mereka.

“Kami memang fokus dan jika kita benar-benar memberikan 100 peratus kita boleh membuatkan mereka bangga,” katanya selepas perlawanan.

Menurut Morales, pada babak pertama pemain Harimau Malaya berkerja keras dan kekal berjuang mengasak ke bahagian pertahanan Korea Selatan.

“Anda tahu mereka mempunyai lebih banyak kawalan bola dan kami tahu Korea adalah pasukan pilihan, mereka adalah pasukan Piala Dunia yang menjadikan permainan yang sangat sukar.

“Tapi, kita hanya perlu fokus kepada pasukan. Malaysia juga mempunyai beberapa kualiti peluang kerana kami ada pemain yang sangat pantas di hadapan.

“Kami mencipta peluang itu dan cuba mengambilnya dan ianya sendiri menjadi motivasi kerana kami tahu kami akan memilikinya.

“Mereka ambil peluang, saya pun ambil peluang saya, kami menjaringkan gol dan kami mendapat keputusan yang baik,” kata pemain kelahiran Colombia itu.

Tambah Morales, sejak tiba dalam skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon persaingan merebut posisi begitu tinggi kerana dibarisi sejumlah pemain berkualiti.

“Ia tidak akan mudah untuk berada di sini, anda tahu saya perlu menyesuaikan diri dengan cepat dengan pasukan, jadi saya mencuba dan berikan yang terbaik untuk memiliki pasukan.

“Saya sangat berterima kasih kepada jurulatih memberi peluang itu dan pada saat-saat akhir saya percaya boleh melakukan sesuatu untuk membantu negara.

“Saya harap mereka mereka berasa bangga dan telah melakukan kerja yang sangat sukar. Sekarang kita boleh menunjukkan kepada semua orang bahawa kita boleh bertarung walaupun dengan menentang pasukan Piala Dunia,” katanya.