MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas kiriman doa dan sokongan yang tidak henti kepada kontinjen negara yang bertanding di Sukan Olimpik Paris 2024.
Dalam masa yang sama, Hannah turut menggesa rakyat Malaysia untuk terus berdoa bagi kejayaan atlet kita di temasya peringkat antarabangsa itu.
Hannah dalam ucapan ringkas yang dimuat naik menyatakan di media sosial, “Malaysians, thank you for praying for our athletes. Keep praying! #RoadToGold.”
Hannah berharap doa dan sokongan berterusan ini dapat menjadi pendorong semangat kepada atlet negara dalam mencapai kejayaan cemerlang di arena sukan global.
Hari ini, dua pasangan beregu badminton negara mara ke separuh akhir. Beregu wanita, Pearly Tan dan M. Thinaah berjaya menumpaskan pasangan Korea Selatan, Kim So Yeong-Kong Hee Yong dengan keputusan 21-12, 21-13 di Porte de la Chapelle Arena, Paris sebentar tadi.
Rentak kecemerlangan mereka diteruskan Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang mengatasi pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 13-21, 21-14, 21-16.
Sementara itu, perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia berjaya meneruskan kemaraan ke pusingan suku akhir.
Bekas juara Asia dan All England itu membenam cabaran pemain tuan rumah, Toma Junior Popov menerusi kemenangan straight set 21-13, 24-22.