WALAUPUN ketika ini Perak FC berada di tangga tercorot Liga Premier, sokongan padu yang ditunjukkan daripada penyokong The Bos Gaurus cukup mengujakan.

Hampir 2,000 peminat hadir ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Ahad dengan majoriti adalah penonton berjersi putih, kuning dan hitam (merujuk Perak).

Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua penyokong Perak FC yang hadir pada pertembungan berdepan PDRM FC.

Pada aksi itu, skuad Kejor Yop Skor gagal mengekang kebangkitan tuan rumah untuk kecundang 2-0 dalam jaringan yang dihasilkan pada babak kedua.

“Kita tidak akan berputus asa kerana pasukan ini baru lagi.

“Kita perlukan lebih masa bermain bersama.

“Perlawanan seterusnya adalah home game pada 16 Julai di Stadium Perak.

“Kita jumpa disana,” katanya yang hadir menyaksikan perlawanan Liga Premier di Cheras.

Muncul pasukan paling banyak dibolosi 22 jaringan musim ini, Perak akan berehat hampir dua minggu sebelum kembali meneruskan baki permainan.

Tugas getir menanti anak didik Yusri Che Lah kerana perlu berdepan pendahulu liga semasa, Terengganu FC II pada 16 Julai depan.