MUNGKIN ramai yang tertanya-tanya, siapakah gerangan bertuah mendapat kasut bola yang dilemparkan pemain negara ke arah ribuan penyokong pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Antara penyokong yang bertuah itu adalah dari sekelompok tegar Ultras Malaya yang ingin dikenali sebagai Mohd Hilmi Yaacob (bukan nama sebenar).
“Saya bertuah, rasa seronok dapat ‘cium’ kasut pemain Harimau Malaya. Tapi, jangan salah sangka pula.
“Kasut ini adalah kepunyaan Safiq Rahim yang diberikan kepada Lekir semalam. Dalam tu, dia ada tulis nombor 8 dengan saiz US 7.5. Ini menunjukkan satu pengiktirafan daripada pemain dan pengurusan pasukan kepada Ultras Malaya.
“Saya pinjam je nak ambil gambar,” ujarnya kepada Flash Sukan pada Rabu.
Dia yang menetap di Ampang, Selangor sempat berkongsi kisah duka kepada penulis selepas pertandingan berlangsung.
“Saya koma sebelum masuk stadium dengan lepas siap gerak kerja selepas perlawanan. Dan sekarang masih demam panas. Ada dikalangan kami yang tak dapat hadir ke perlawanan terakhir ini akibat positif dan demam juga. Ini adalah hadiah untuk kalian yang bertungkus lumus bekerja demi menjayakan misi Asia ini.
“Cuma, lani (sekarang) Alhamdulillah. Ada la dok rasa sengal badan dengan seram sejuk,” katanya masih menerima rawatan di klinik.
Terima kasih kepada pasukan Harimau Malaya dan rakyat Malaysia kerana telah menerima pergerakan Ultras Malaya selama ini.
Hasil kerja sama antara unit unit di dalam Ultras Malaya iaitu unit Capo, Curva Crew, Unitif, Drumline dan Medium menyumbangkan kepada kejayaaan pasukan Malaysia.
Akhirnya kita semua adalah sebahagian daripada kejayaan skuad negara ke Piala Asia 2023.
Dalam pusingan kelayakan itu, skuad negara berjaya menempah slot ke Piala Asia selepas berjaya membenam Bangladesh 4-1 untuk muncul antara lima pasukan naib juara terbaik dalam kempen kelayakan pusingan ketiga itu.
Untuk rekod, kali terakhir skuad Harimau Malaya layak secara merit ke Piala Asia pada 1980 di Kuwait dengan pasukan negara menamatkan saingan di tempat keenam daripada 10 negara yang layak.