BERAKHIR sudah kepimpinan ketua jurulatih bola sepak kebangsaan Kim Pan-Gon.
Pengendali kelahiran Korea Selatan berusia 55 tahun itu membuat Keputusan mengejut mengundur diri selepas lebih kurang sebulan menegaskan terus mahu bersama Harimau Malaya.
Pada 11 Jun lalu, Pan Gon berkongsi kepada media bahawa dia mahu terus kekal, namun jika ada yang memaksa untuk pergi, dia terpaksa pergi.
Itu kisah sebulan yang lalu.
“Hari ini, saya telah memutuskan untuk berundur sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Malaysia kerana komitmen peribadi saya. Saya memohon maaf atas sebarang kekecewaan yang mungkin ditimbulkan kepada semua pihak.
“Sejak saya tiba pada Februari 2022, selama dua setengah tahun yang lalu, rakyat Malaysia benar-benar menghadiahkan saya satu perjalanan yang sangat luar biasa dan indah dalam hidup saya.
“Pada Jun 2022, kita bersama-sama berkongsi kegembiraan Malaysia layak ke Piala Asia secara merit selepas tempoh 43 tahun dan sejak itu, kita telah meningkat ke tangga ke-130 dalam ranking FIFA dan pada aksi terakhir Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lalu, kita berjaya seri 3-3 dengan pasukan ranking ke-22 dunia, Republik Korea, sekali gus menunjukkan satu kebanggaan yang rakyat Malaysia harus ada dalam bola sepak mereka.
“Namun malangnya kita tidak layak ke pusingan akhir Kelayakan Piala Dunia 2026. Tapi dengan tiga kemenangan, satu seri, dua kekalahan dan 10 mata, kita telah menyediakan satu asas dan momentum bagi menyemai harapan untuk masa depan bola sepak Malaysia yang cerah,” kata Pan Gon.
Sepanjang lebih kurang tiga tahun enam bulan bersama skuad Harimkau Malaya, tidak dinafikan pelbagai rekod menyenangkan telah dicipta bersama skuad negara yang sekaligus memberi harapan positif kepada semua peminat bola sepak tanah air.
Pan Gon telah merekodkan 34 perlawanan (Fifa) sepanjang tahun 2022-2024 yang menyaksikan keputusan menang sebanyak 20 kali, seri empat dan tewas 10 kali.
Dan yang pasti kemenangan 3-1 ke atas Chinese Taipei pada 11 Jun 2024 bagi Kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil adalah sentuhan terakhir coach KPG.
Gam Sa Ham Ni Da Coach!