TONGGAK pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Fergus Tierney menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas peluang yang diberikan untuk melebarkan sayap ke bumi Thailand.
Pemain muda berusia 21 tahun itu kini sudah berada di pangkuan keluarga baharu, Chonburi FC dan akan menjalani latihan pertamanya hari ini. Justeru, Fergus berkongsi kepada FLASH SUKAN, dia berasa amat teruja setelah berpeluang menimba ilmu ke kelab Liga Thailand itu selama setahun.
Setiap cabaran baharu yang menyusul nanti bakal ditempuhi dengan penuh bermotivasi, berkat kekuatan dan sikap ingin menang yang sudah diterapkan dalam diri pemain di pasukan lamanya, JDT.
“Saya teruja dengan cabaran dan laluan baharu untuk saya ini. Terima kasih kepada PSJ kerana mengurniakan kepercayaan dan peluang terbaik ini, untuk saya perbaiki diri sebagai pemain bola sepak.
“Saya berharap, saya dapat kembali ke JDT sebagai seorang pemain bola sepak yang jauh lebih baik daripada sekarang.
“Tidak dinafikan, JDT adalah sebuah kelab yang penuh kejuaraan dan pemain berkualiti, jadi saya cuba memanfaatkan semua yang saya pelajari dari pengalaman saya berlatih dan bermain di JDT untuk bantu menyesuaikan diri dengan Liga Thailand,” menurut Fergus kepada FLASH SUKAN.
Dalam perkembangan sama, Fergus yang merupakan anak kepada Martin Tierney iaitu bekas pemain import PDRM dan Penang turut menyatakan fokusnya ketika ini, dalam memburu sebanyak mungkin minit permainan di pasukan baharunya itu.
“Saya akan menjalani latihan hari pertama hari ini. Setakat ini, saya cuma fokus dan berharap agar dapat bermain sebanyak mungkin di sini dan membawa mentaliti kemenangan JDT bersama saya ke Chonburi,” tambah Fergus.
Fergus yang juga merupakan pemain Harimau Malaya Bawah 23 (B-23) berada di prestasi terbaiknya dan berjaya menjaringkan satu gol dalam perlawanan persahabatan Antarabangsa antara China dan Malaysia pada April lalu.