PERAK FC disahkan akan menandatangani tiga pemain import baharu selepas mereka lulus ujian perubatan dan kecergasan yang dijalankan di Ipoh.
Mereka ialah penyerang Stipe Plazibat dari Croatia, pemain tengah Luciano Guaycochea dari Argentina dan pemain tengah pertahanan Sunday Kolawole Afolabi dari Nigeria.
Stipe Plazibat yang bermain untuk Lion City Sailors dalam Liga Perdana Singapura pada musim 2020/21 telah menjaringkan 14 gol dan tujuh 7 assist dalam 17 penampilan.
Dia juga merupakan salah satu penjaring gol terbanyak liga tersebut untuk musim lepas selain memenangi liga bersama pasukan Lion City Sailors.
Sementara itu, Luciano Guaycochea telah bermain dalam Liga Bolivia bagi pasukan Oriente Petrolero sebelum menandatangani kontrak bersama Perak FC.
Dia berjaya menjaringkan tiga gol dalam 14 penampilan untuk kelab dengan masa bermain kolektif selama 311 minit.
Manakala, pemain berusia 22 tahun, Sunday Afolabi pula sebelum ini bermain selama 462 minit untuk pasukan MSK Puchov dalam Liga Slovakia 2 dan dijangka memberi impak dalam kancah bola sepak Malaysia.
Turut hadir pada sidang media di Menara SSI Ipoh ialah Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan pasukan pengurusan Perak FC.
Kesemua pemain baharu akan hadir bersama skuad Perak FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu menentang pasukan Kelantan United pada 25 Jun, jam 9 malam.
Ia disebabkan Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bahru, Kelantan sedang menjalani kerja-kerja pengubahsuaian dan naik taraf.