TIDAK cukup masa untuk mengembalikan tahap kecergasan, dikenal pasti menjadi punca prestasi tidak menentu gandingan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei sepanjang musim ini.
Sejak digandingkan pada November 2022, dan mula diletakkan di bawah jurulatih dari Indonesia, Nova Widianto, Tang Jie-Ee Wei mempamerkan peningkatan mendadak dari ranking 147 dunia sebelum Terbuka Malaysia, melonjak dengan amat ketara sehingga kini di tangga kesembilan.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaku berkata, hasil pertemuan dengan gandingan terbabit selepas Masters China, beliau mendapati Ee Wei amat memerlukan masa yang cukup untuk mengembalikan tahap kecergasan.
“Kekurangan masa kerana terlalu sibuk menyertai kejohanan ini menyebabkan dia tak cukup rehat, tidak sempat mencapai tahap kecergasan yang kita mahukan.
“Sebab itu, kadang kala mood dia kelihatan baik, mahu mencuba pelbagai pukulan tetapi tidak menjadi.
“Dia (Ee Wei) menyedari hal itu dan mengakui buntu,” kata Rexy.
Tambah beliau yang memiliki kepakaran menyatukan kemahiran dua pemain sehingga membentuk gandingan yang mantap, beliau menaruh harapan Tang Jie-Ee Wei dapat mengesahkan tempat ke Olimpik Paris sejurus menamatkan saingan Seluruh England.
“Selepas tamat Seluruh England, kita sasarkan mereka berjaya berada di ranking kelapan dunia, sekali gus selamat untuk ke Olimpik (Paris), selepas itu kita akan melakukan persiapan yang lebih fokus dalam latihan berbanding kejohanan.”
Menurut Rexy, Ee Wei adalah seorang pemainyang memiliki semangat juang tinggi, memberi komitmen latihan yang baik.
Justeru, beliau mengharapkan gandingan itu beraksi cemerlang pada tiga kejohanan di bulan Januari, iaitu Terbuka Malaysia, India dan Indonesia, sebelum menanti situasi selepas Seluruh England pada Mac.
Mengakhiri tahun 2023, gandingan terbabit akan beraksi di saingan Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China pada 13 hingga 17 Disember ini dan undian hanya akan dilangsungkan pada Isnin.