TIDAK mampu berkata-kata, hanya menggerakkan mata dan menggenggam bola fisio sambil terketar-ketar, begitulah keadaan terkini penolong jurulatih skuad sepak takraw negara, Suhaimi Yusof, yang terlantar di kediamannya di Klang, Selangor.

Suhaimi dipercayai diserang angin ahmar dan mengalami sakit saraf selepas pulang daripada memimpin skuad sepak takraw negara di temasya Sukan SEA Kemboja, April hingga Mei lalu.

Suhaimi telah menjalani lima pembedahan termasuk di bahagian kepala sejak Mei lalu,  tidak mampu mengungkap walau satu perkataan, namun dipercayai memahami apa yang dituturkan di hadapannya.

Keadaan terkini bekas anggota emas sepak takraw Sukan Asia Beijing 1990, Suhaimi Yusof ketika menerima kunjungan Program Visit & Treat Skuad Yakeb Prihatin, di kediamannya di Klang, Selangor.

Dalam kunjungan Skuad Prihatin Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) pada Pada Program Visit & Treat, Suhaimi berada dalam keadaan cukup memilukan.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi, berkata, kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan dalam bentuk kewangan kepada keluarga Suhaimi, bagi menguruskan rawatan dan pemulihan beliau.

“Di peringkat Majlis Sukan Negeri, kita akan bersama-sama ikhtiarkan apa juga bantuan dan sedikit sebanyak keperluan membiayai rawatan.

“Ini komitmen kita di peringkat negeri Selangor dan juga Yakeb, untuk bersama-sama memelihara kebajikan dan keperluan bekas atlet yang banyak berjasa kepada negara,” kata Mohd Najwan.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi akan memastikan Suhaimi Yusof menerima bantuan kewangan dariapda kerajaan Negeri Selangor.

Tambah beliau, masalah dihadapi Suhaimi itu akan dibincangkan di peringkat kerajaan negeri.

Suhaimi, apit kiri negara yang bersama-sama ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharun meraih pingat emas regu berpasukan Sukan Asia Beijing 1990 dan Sukan SEA Manila 1991.

Jurulatih berusia 53 tahun itu bersama-sama Ahmad Jais, membimbing skuad negara ke Sukan Sea Kemboja, dipercayai menghadapi tekanan kerana terlalu mahukan skuad negara mencapai kemenangan di temasya itu, sehingga memberi tekanan kepada diri sendiri.

Suhaimi Yusof hanya boleh menerima makanan dalam bentuk cecair.

Menurutnya, Suhaimi memerlukan pemakanan dalam bentuk cecair seperti susu yang menelan belanja tinggi.

Sementara itu, Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, pihaknya membantu Suhaimi sejak tiga bulan lalu dan sering menziarahinya baik di hospital mahupun di rumah.

Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed menjamin pihaknya akan sentiasa memantau kebajikan Suhaimi Yusof.

“Kita membantu Suhaimi dari segi kewangan dan peralatan seperti kerusi roda. Yakeb sentiasa prihatin kepada bekas atlet terutamanya di Selangor, kerana kita mempunyai ahli yang juga bekas atlet seramai kira-kira 800 orang di negeri ini.

“Yakeb tidak mampu bergerak bersendirian, jadi dengan kerjasama bersama kerajaan negeri dapat dirancakkan lagi pada masa hadapan,” kata Noorul Ariffin.

Suhaimi Yusof bersama isteri, Nurjazilah Omar dan anak sulungnya.

Wakil Perkeso yang hadir berkata, pihaknya akan mengkaji lagi bentuk bantuan yang boleh dihulurkan

Turut hadir pada majlis itu, wakil Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Iskandar Zulkarnain Mohd Ibrahim, dan bekas jaguh bina badan, Datuk Malek Nor.