BINTANG Manchester City, Erling Haaland, menghadapi perlumbaan melawan masa untuk bersedia beraksi dalam perlawanan Manchester City menentang Liverpool pada hujung minggu depan setelah terpaksa menarik diri daripada perlawanan Norway menentang Scotland.

Pemain penyerang itu terseliuh buku lali selepas beraksi dalam kemenangan 2-0 perlawanan persahabatan menentang Kepulauan Faroe pada hari Khamis, dan dia meneruskan perlawanan sehingga tamat.

Ini merupakan kecederaan buku lali keduanya bulan ini selepas Haaland dikeluarkan pada separuh masa dalam kemenangan 6-1 menentang Bournemouth pada 4 November, yang menimbulkan kebimbangan dia mungkin tidak dapat beraksi dalam perlawanan utama menentang pasukan The Red.

Berita baik buat City yang mana menurut pengesahan daripada doktor pasukan Norway, Ola Sand, kecederaan yang dialami Haaland adalah tidak serius, namun ‘dia mudah mengalami kesakitan dan fungsi yang terhad’ yang menyebabkannya tidak mampu untuk beraksi di Hampden Park.

Pemain berusia 23 tahun itu kini mungkin akan terlepas pertembungan City dengan Liverpool apabila liga kembali bersambung.

Perjalanan Norway ke Glasgow untuk kelayakan terakhir Euro 2024 mereka adalah tidak bermakna kerana mereka tidak lagi boleh mengejar pasukan Steve Clarke atau Sepanyol di kedudukan dua teratas.

Selepas perlawanan pada hari Khamis, Sand mendedahkan bahawa kecederaan terkini Haaland menyebabkan buku lali pemain berusia 23 tahun itu ‘mudah cedera’ dan boleh memburukkan lagi keadaan.

“Perkara yang sama telah berlaku seperti ketika menentang Bournemouth seminggu setengah yang lalu,” katanya kepada TV2. “Dia pernah mengalaminya sebelum ini juga.”

“Dia mengalami sedikit lenturan di buku lali, di mana dia agak mudah cedera. Ia terasa sakit dengan sangat segera, dan kemudian ia hilang dengan cepat. Kita akan melihat bagaimana keadaannya esok,” tambah Sand.

Haaland telah berada dalam prestasi cemerlang musim ini dan memimpin carta penjaring gol Liga Perdana dengan 13 gol daripada 12 perlawanan.

Skuad kendalian Pep Guardiola berada di tengah-tengah krisis kecederaan dengan beberapa pemain utama diancam terlepas perlawanan.

City akan mengalu-alukan pasukan Jurgen Klopp ke Etihad pada waktu makan tengah hari Sabtu dengan kedua-dua pasukan dipisahkan dengan satu mata di carta kedudukan atas.

Sementara itu, Pep Guardiola tidak hanya bimbang akan kecergasan penyerang utamanya, tetapi beberapa anggota pasukannya termasuklah Ederson, Nathan Ake, Mateo Kovacic, dan Matheus Nunes yang mana telah ditarik dari pemilihan pasukan kebangsaan dan menghadapi perlumbaan melawan masa untuk beraksi.

Juara Liga Perdana itu juga akan kekurangan pemain dengan ketidakhadiran jangka masa panjang, Kevin De Bruyne, John Stones, dan Sergio Gomez.