KETUA jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mahu anak buahnya terus konsisten selepas mereka terpaksa berhempas-pulas sebelum merekod kemenangan tipis 2-1 ke atas Kuching City FC dalam aksi Liga Super pada Sabtu.

Dalam pertembungan ‘Borneo Derby’ di Stadium Likas itu, Sabah FC terpaksa bangkit menerusi jaringan Darren Lok di minit ke-75 dan Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew (min-85) selepas ketinggalan di minit ke-64 hasil gol penyerang pasukan pelawat Pedro Henrique.

Ini kemenangan kedua dicatatkan oleh Sabah FC dalam tiga perlawanan untuk menduduki tangga ke-3 liga berkongsi tujuh mata dengan Terengganu FC untuk terus menghimpit pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan kelebihan dua mata.

“Penting untuk kita mendapatkan tiga mata penuh, sudah tentu ini akan menyuntik semangat kami lagi sebelum kami berehat untuk kalendar FIFA, selepas ini kita akan kembali dengan perlawanan Piala FA jadi saya harap kita akan bertambah baik daripada sekarang dan kita perlu lebih konsisten selepas ini,” kata Kim Swee selepas perlawanan itu.

Image

Sabah FC akan terbang Jakarta untuk menyertai kejohanan antarabangsa bermula 30 Mei ini.

Bekas pengendali kebangsaan itu mengakui akan beberapa kelemahan dalam pasukan dan beliau berharap dua perlawanan yang bakal mereka harungi dalam Kejohanan Antarabangsa RCTI Jakarta Indonesia RCTI Premium Sports bermula 30 Mei hingga 2 Jun dapat memantapkan prestasi anak buahnya.

“Kita akan akan ke Indonesia untuk Piala RCTI selepas ini, kita akan dapat dua perlawanan penting di mana saya ingin cuba beberapa pemain lagi untuk mereka mendapatkan minit permainan mencukupi,” katanya.

Bagaimanapun Kim Swee terpaksa melupakan khidmat empat pemain utama, Darren Lok, Daniel Ting, Stuart Wilkin dan Dominic Tan yang mendapat panggilan bersama skuad Harimau Malaya bagi aksi Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bertemu Republik Kyrgyzstan di Bishkek pada 6 Jun 2024 dan menerima kunjungan Chinese Taipei di Bukit Jalil pada 11 Jun 2024.

“Empat pemain ini tak akan bersama kita ke Indonesia di mana mereka harus kembali dengan pasukan kebangsaan, itu perkara penting untuk membantu negara ke Kelayakan Piala Asia,” katanya.