SELANGOR FC semakin hampiri gelaran juara kali ke-34 Piala Malaysia apabila berjaya mara ke pentas akhir meskipun tewas 0-1 dalam aksi timbal balik yang berlangsung hangat di Stadium Tuanku Mizan Zainal Abidin Isnin malam.

Aksi babak pertama bermula rancak dengan kedua-dua pasukan saling mempamerkan serangan bertali arus ke kubu lawan namun disiplin pertahanan Gergasi Merah akhirnya dibolosi menerusi gerakan kilat Muhammad Faisal Abdul Halim yang bijak membuat cutback kepada Tchetche Kipre bagi meletakkan Terengganu FC gah dengan satu gol di hadapan.

Gol tersebut jelas menyuntik semangat Sang Penyu apabila terus melancarkan beberapa percubaan merbahaya ke kubu pasukan Gergasi Merah namun penjaga gol Selangor FC, Mohd Khairulazhan Mohd Khalid cemerlang menidakkan peluang tersebut.

Tersentak dengan jaringan itu, Selangor FC kerap melakukan counter attack namun penyudah Herlison Caion de Souza gagal menewaskan penjaga gol utama Terengganu FC, Muhammad Rahadiazli Rahalim.

Penghujung babak pertama atmosfera di stadium agak panas setelah sepakan sudut Selangor FC dibatalkan pengadil berikutan tempoh tiga minit masa tambahan babak pertama telah tamat.

Sebaik babak kedua bermula, Sang Penyu kembali menguasai perlawanan dengan deretan peluang berjaya dihasilkan pasukan tuan rumah termasuk satu jaringan yang berjaya dihasilkan Terengganu FC namun ianya dibatalkan kerana ofsaid.

Bagai menerima tonik baharu , Terengganu sekali lagi mengancam kubu pelawat dengan beberapa deretan percubaan berbisa tuan rumah namun cemerlang dipatahkan penjaga gol, Khairulazhan Khalid.

Kali terakhir Selangor FC berjaya layak ke pentas akhir Piala Malaysia adalah pada 2016 sebelum tewas kepada kedah menerusi sepakan penalti serta berjaya merangkul piala tertua itu pada 2015 apabila menewaskan Kedah 2-0.

Manakala, kali terakhir Terengganu berjaya merangkul piala tersebut adalah pada 2001 ketika menewaskan Perak 2-1 serta kali terakhir beraksi di pentas akhir pada 2018 namun terpaksa akur tewas kepada Perak menerusi sepakan penalti.

Perlawanan tersebut turut berlangsung tegang apabila Yazan Al-Arab dilayangkan kad kuning kedua memaksa dia dikeluarkan pada minit akhir perlawanan.