“SAYA terkejut, sewaktu saya bermain tidak pernah sampai tujuh (tewas),” ujar penolong jurulatih Kelantan United FC Nazrulerwan Makmor.
Kekalahan 1-7 kepada Selangor FC di Stadium Sultan Mohamad IV pada Rabu malam ternyata mengejutkan pengendali itu yang mengakui ianya jumlah yang banyak.
“Dalam karier coaching, saya terkejut dengan tujuh terlampau besar. Jujur saya katakan pemain asing tidak membantu.
“Saya harap management dapat tukar secepat mungkin pemain-pemain asing. Saya nampak tak ada function dalam padang,” kongsinya selepas perlawanan.
Menurut Nazrulerwan juga, dua gol awal pihak lawan telah membantutkan taktikal pasukannya.
“Tapi dalam bola sepak, you kena bangkit walaupun ketinggalan dua kosong. Pemain-pemain kena ikut arahan tapi nampaknya pemain-pemain saya terutamanya pemain import tak ikut arahan.
“Saya ulang sekali lagi, pemain-pemain import saya tak bagi komitmen yang baik. Saya harap pengurusan secepat mungkin mencari pengganti import terutama di barisan tengah dan serangan.
“Saya harap dapat mencari pemain-pemain yang berkualiti dan boleh membantu pasukan kerana saya percaya kita masih mampu berada dalam kedudukan terbaik. Tapi kalau tak tukar, takkan ke mana,” jelasnya.
Pada perlawanan tersebut, Kelantan United meraih gol tunggal menerusi sepakan penalti oleh Devid Silva (75′).
Kelantan United kini menghuni kedudukan kedua tercorot liga dengan hanya mengutip enam mata hasil daripada satu kemenangan dan tiga seri daripada 14 perlawanan.