PERTAHANAN muda Terengganu FC, Safwan Mazlan berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan oleh dirinya ketika aksi final Piala Malaysia 2023 meskipun tewas 1-3 kepada Johor Darul Ta’zim dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Dia turut mengakui kelebihan yang ada pada pasukan JDT namun dia gembira kerana berjaya memberikan persembahan terbaik dalam final keduanya musim ini selepas mewakili Terengganu II dalam final Piala AFC.
“Semua orang tahu JDT adalah satu pasukan yang kuat dengan banyak pemain mereka berpengalaman bermain di peringkat Asia jadi bagi kami tidak ada masalah untuk lawan mereka dan saya berpuas hati dengan aksi malam ni namun masih banyak lagi yang perlu diperbaiki.
“Diberikan kesempatan dan kepercayaan untuk bermain di final bagi saya semua itu untuk pengalaman kerana saya pernah juara Sukma dan Piala MFL kini saya akan lakukan yang terbaik untuk perlawanan seterusnya dalam Piala AFC untuk layak ke peringkat seterusnya.
Safwan turut berasa bangga kerana pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner percaya dengan kekentalan bek berempat muda tempatan yang semakin hari semakin baik keserasian dan berani ketika di atas padang.
“Coach Tomi dah letak lokal bek berempat dan dia berani letak kami untuk perlawanan malam ini. Bagi pihak saya pulak, saya yakin dengan diri saya dan akan berikan yang terbaik untuk dua perlawanan terakhir musim ini,” jelasnya.
Terengganu bakal berhadapan Bali United pada Rabu untuk aksi terakhir kumpulan Piala AFC sebelum melengkapkan aksi Liga Super bertemu Perak dengan kedua-dua perlawanan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.