PENGENDALI Bangladesh, Javier Cabrera nyata berpuas hati dengan persembahan keseluruhan pasukannya pada kempen Kelayakan Akhir Piala Asia AFC 2023 dan mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas kemenangan.

Cabrera juga sudah menjangkakan Malaysia akan bermain secara menyerang dan menganggap atmosfera yang menakjubkan di Stadium Nasional Bukit Jalil bukanlah perkara negatif buat pasukannya.

Dia juga mahu para pemain percaya dengan apa yang mereka lakukan dan akan menganalisa segala kesilapan bagi memastikan mereka dapat menambah baik pasukan di masa hadapan.

 

“Ianya adalah perlawanan yang sukar buat kami. Kami tahu Malaysia akan menyerang dari permulaan dan kami berjaya mengekang Malaysia hingga 30 minit. Gol kedua merubah segala-galanya dan Malaysia adalah pasukan yang hebat dan saya ucapkan tahniah.

“Atmosfera di stadium ini sangat hebat tetapi ianya tidak memberikan kesan negatif kepada kami. Malaysia adalah pasukan yang lebih baik dan kami tewas di dalam padang. Kelekaan kami dihukum apabila menentang pasukan seperti Malaysia.

“Kami perlu terus bekerja keras dan percaya dengan apa yang kami lakukan. Kami tidak akan berputus asa hanya kerana satu kekalahan besar ini. Jika kami percaya kami akan menjadi lebih baik kerana kami sudah pun lebih baik dari sebelum ini” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Bangladesh gagal membawa pulang sebarang mata tetapi menampilkan persembahan yang baik dalam ketiga-tiga perlawanan yang memeranjatkan banyak pihak.