MALAYSIAN Tigress beroleh pengalaman berharga di Valencia, Sepanyol, biarpun menamatkan saingan pusingan kelayakan Olimpik Paris, tanpa sebarang kemenangan.
Menamatkan cabaran di kedudukan kelapan, ketua jurulatih pasukan hoki wanita negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim mahu, perkara positif iaitu menentang pasukan-pasukan besar pada persaingan tinggi, merebut slot ke Olimpik.
Manakan tidak, kebanyakan pemain wanita yang tersenarai dalam skuad kali ini dibarisi pemain muda, umpama permata yang menunggu masa untuk menerbitkan kilauan.
“Secara keseluruhan, ini pasukan muda dan kami tak banyak diberikan pendedahan seperti bermain dengan pasukan dari Eropah. Saya rasa ini pendedahan yang sangat bagus.
“Kita boleh ambil (keputusan ini) secara positif dan kita juga dapat tahu di mana harus diperkuatkan lagi pasukan ini. Mereka (pemain) juga percaya, dengan latihan yang akan datang, kita akan lebih maju dan bagus dalam sukan hoki,” kata Nasihin.
Pasukan menutup tirai kelayakan di Valencia dengan berada di tangga kelapan daripada lapan pasukan keseluruhan selepas tewas dalam kesemua aksi Kumpulan B sebelum kecundang di tangan Ukraine 1-2 di penentuan tempat ketujuh dan kelapan, semalam.
Daripada saingan di Valencia itu, slot kelayakan ke Paris 2024 yang dijadual berlangsung pada Julai ini diraih Belgium, Sepanyol dan Great Britain.
Mengulas mengenai aksi terakhir bertemu Ukraine, Nasihin merumuskan yang pemain sudah memberikan yang terbaik dan beberapa kesilapan ketika perlawanan menghukum pasukan.
“Agak kecewa kerana tewas di tangan Ukraine. Namun begitu, saya rasa pemain sudah berikan yang terbaik. Kita mempunyai beberapa peluang tetapi pemain tidak begitu yakin.
“Apapun, pemain muda sudah menimba pengalaman berharga apabila bertanding di kelayakan Olimpik ini. Ini satu pengalaman berharga yang kita harus percaya dan bersabar untuk pasukan maju ke hadapan lagi selepas ini.
“Kita mempunyai beberapa peluang pukulan sudut penalti tetapi tak menjadi kerana pertahanan lawan yang bagus. Di separuh masa kedua, kita mempunyai peluang yang hampir sama, tetapi beberapa kesilapan individu menyebabkan mereka menjaringkan gol. Namun sebagai pasukan, kita terimanya secara bersama,” kata Nasihin.