MIRI FA muncul sebagai juara Kejohanan Liga Bolasepak SSC-FAS B-20 2022 selepas menewaskan Serian FA menerusi penentuan sepakan penalti 5-3 selepas terikat 1-1 pada aksi final di Stadium Negeri Kuching pada Sabtu.
Skuad kendalian Mohd Hakimi Man itu bagaimanapun dikejutkan gol awal Serian pada m-14 menerusi gol Zaifudin Seruji dan perlawanan saling bertukar serangan tetapi kedudukan kekal tidak berganjak hingga tamat masa pertama.
Pertukaran formasi di 45 minit berikutnya membuahkan hasil dengan The Young Seahorse berjaya menyamakan kedudukan Harith Danielle pada lewat 15 minit hujung permainan.
“Alhamdulillah… Syukur pada Allah SWT dengan izin-Nya pasukan Miri FA B-20 menjuarai Kejohanan Bolasepak B-20 SSC-FAS 2022. Takdir yang telah tertulis.
“Perjuangan yang luar biasa, perjuangan tanpa menyerah, tanpa rasa lelah, terus menekan memberikan reaksi positif meskipun ketinggalan. Itulah sebahagian daripada proses menjadikan mereka pemain yang lebih matang.
“Terima kasih di atas sokongan dan iringan doa dari semua pihak yang menyokong pasukan Miri FA B-20. Tanpa dokongan semua pihak pasukan ini takkan ke mana,” katanya kepada FLASH SUKAN selepas perlawanan.
ARTIKEL BERKAITAN : Kejohanan Liga Bolasepak SSC-FAS B-20 2022 : Miri FA tempah tiket ke final