INDONESIA B-22 menang 5-2 ke atas Thailand pada final penuh dramatik dan dicemari layangan kad merah dalam aksi bola sepak lelaki Sukan SEA 2023 di Stadium Nasional Olimpik, Phnom Penh, sebentar tadi.

Pada perlawanan itu Indonesia berjaya membuka jaringan 1-0 menerusi tandukan Ramadhan Sananta pada minit ke-20 selepas menerima hantaran jarak jauh Alfeandra Dewangga.

Gol ini dimulakan dengan lontaran ke dalam oleh Alfeandra Dewangga dari sebelah kanan kawasan serangan. Dewangga membuat balingan jarak jauh ke dalam kotak penalti yang dapat ditanduk Sananta.

Bola yang dikeluarkan Sananta ke gawang Thailand kemudian terkena paha pertahanan Gajah Perang, Songchai Thongcham yang masuk ke gawang sendiri.

Pada minit ke-45+4, Indonesia berjaya menambah jaringan 2-0 menerusi rembatan Ramadhan Sananta susulan hantaran jarak jauh Rizky Ridho untuk memperdaya penjaga gawang Thailand itu.

Pemain Thailand membantah kerana menganggap sepakan Rizky Ridho sebagai bola fair play, namun pengadil tetap membenarkan gol tersebut.

 

Sehingga babak pertama tamat, kedudukan tidak berubah dengan Indonesia mendahului 2-0.

Pada separuh masa kedua, perlawanan semakin sengit. Indonesia dan Thailand bertukar serangan.

Pada minit ke-66, Thailand berjaya mengurangkan ketinggalan kepada 1-2 menerusi tandukan Anan Yodsangwal.

Kemudian, pada minit 90+8, Thailand menyamakan kedudukan 2-2 menerusi jaringan Yotsakon, menjadikan perlawanan di heret ke tambahan masa 30 minit.

 

Indonesia kembali di depan dengan pantas menerusi gol Irfan Jauhari pada minit ke-92.

Indonesia hampir menambah jaringan menerusi beberapa peluang keemasan yang diperoleh. Salah satunya ialah peluang keemasan Marselino Ferdinan pada minit ke-105 yang masih tersasar sedikit di sebelah kanan gawang Thailand.

Memasuki separuh masa kedua tambahan, Fajar Fathur Rahman menjaringkan gol keempat Indonesia. Mengambil kesempatan kekosongan di barisan belakang Thailand, Fajar melepaskan rembatan yang tidak dapat diselamatkan penjaga gol Thirawoot Sraunson.

Thailand yang cuba mengejar, terpaksa kehilangan Anan yang mendapat kad kuning kedua.

Kekurangan pemain skuad Gajah Perang adalah nafas segar bagi Indonesia. Pada minit terakhir masa tambahan, Beckham Putra Nugraha menjaringkan gol dan menukar kedudukan kepada 5-2.

Sehingga permainan tamat tiada gol tambahan yang dicipta oleh kedua-dua pasukan. Indonesia menang 5-2 ke atas Thailand sekali gus memenangi pingat emas dalam bola sepak Sukan SEA 2023.

Senarai Pemain 

Indonesia XI: Ernando Ari; Rizky Ridho, Bagas Kaffa, Komang Teguh; Alfeandra Dewangga, Marselino Ferdinan, Muhammad Taufany, Fajar Fathur Rachman Ramadhan Sananta, Witan Sulaeman

Thailand XI (4-4-2): Soponwit Rakyart; Bukkoree Lemdee, Chatmongkol Rueangthanarot, Jonathan Khemdee, Songchai Thongcham; Airfan Doloh, Channarong Promsrikaew, Settasit Suvannaseat, Chayapipat Supunpasuch; Teerasak Poeiphimai, Achitpol Keererom