TERENGGANU FC mengambil langkah berjaga-jaga apabila terdapat individu misteri yang masih lagi mengikuti pergerakan Akhyar Rashid.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim menerusi laporan oleh Trdi.My.

Pemain berusia 25 tahun itu merupakan mangsa pertama yang menggemparkan bola sepak tempatan selepas diserang individu misteri dengan menggunakan cota pada 2 Mei lalu.

Hishamuddin berkata pihaknya dimaklumkan kes melibatkan Akhyar Rashid telah diserahkan kepada polis Bukit Aman.

“Ekoran kes yang timbul, Pusat Latihan kini terpaksa ditutup sementara dan para pemain menjalani latihan secara tertutup kerana didapati pergerakan Akhyar diikuti oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Selain itu polis juga mengenal pasti semua alamat rumah pemain, kita juga diminta agar melaporkan pergerakan pemain kepada PDRM,” katanya.

Beliau juga menambah bahawa tindakan menutup pusat latihan pemain kepada peminat TFC hanyalah bersifat sementara sehingga keadaan kembali reda.

“Sebagai langkah keselematan, kita juga memasang sistem kamera litar tertutup (CCTV) di pusat latihan tersebut,” tambahnya lagi.

Sebelum ini, pemain pinjaman dari Johor Darul Ta’zim FC kelihatan sudah mula menjalani latihan bersama rakan sepasukan di Kompleks Sukan Gong Badak.