TERENGGANU FC (TFC) berhak membawa pulang tiga mata penuh daripada pertemuan dengan PDRM FC dalam aksi Liga Super di laman sendiri pada Sabtu.
Pendapat itu disuarakan pengendalinya, Tomislv Steinbruckner yang menyifatkan TFC memimpin perlawanan sejak wisel permulaan sehingga tamat 90 minit.
“Keputusan ini sangat menggembirakan dan jika dilihat kepada persembahan dipamerkan, TFC berhak untuk menang dengan jaringan lebih besar.
“Banyak peluang dihasilkan namun inilah bola sepak. Apa pun saya berpuas hati banyak peluang dicipta dan kami mengawal keseluruhan aksi.
“PDRM cuba melakukan serangan balas tetapi pertahanan saya lebih cekap menutup ruang dan mereka cuma ada satu atau dua peluang, itu saja,” katanya selepas perlawanan
Dalam perlawanan tersebut, jaringan tunggal Sardor Kulmatov pada minit ke-76 memastikan TFC meraih kemenangan sulung dalam saingan musim ini.
Keputusan itu juga membantu Sang Penyu naik dari tangga tercorot ke tempat keenam dengan empat mata daripada empat perlawanan.