TERENGGANU FC (TFC) bersetuju menawarkan lanjutan kontrak setahun kepada ketua jurulatih, Nafuzi Zain untuk terus membimbing pasukan itu.
EXCO Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah TFC yang dipengerusikannya pada Selasa.
Menurut Wan Sukairi, pihak pengurusan berpuas hati dengan pencapaian dicapai TFC dibawah kendalia Nafuzi musim ini iaitu layak ke Piala AFC 2023 serta mara ke final Piala FA.
“Kita akan serahkan tawaran tersebut kepada Nafuzi secepat mungkin dan sekarang terpulang kepada beliau sama ada mahu menerima tawaran daripada TFC atau sebaliknya.
“Beliau perlu memberi jawapan dalam masa 14 hari setelah menerima surat tawaran tersebut.
“Lanjutan kontrak setahun turut diberikan kepada ketua jurulatih TFC II, III dan IV,” jelasnya ketika ditemui FLASH SUKAN pada Selasa.
Tambah Wan Sukairi lagi, mesyuarat berkenaan turut membincangkan perkembangan terkini pasukan serta persiapan TFC menghadapi musim baharu 2023.
“Kami setuju untuk memberi mandat kepada Nafuzi dalam menentukan barisan pemain tempatan dan import untuk saingan musim depan.
“Jika beliau menolak tawaran daripada itu, kami akan menilai semula calon-calon bagi membawa cabaran TFC dalam saingan domestik dan AFC,” jelasnya.