FINALIS Piala FA, Terengganu FC (TFC) garang membenam Melaka United 5-0 dalam aksi Liga Super di laman sendiri yang dibantu jaringan hatrik Kipre Tchetche.
Kenduri gol TFC dimulakan Kpah Sherman yang menanduk masuk bola hantaran Faisal Abdul Halim dari sebelah kanan pada minit ke-16.
Tuan rumah hanya menambah jaringan selepas rehat menerusi tolakan mudah pemain gantian, Nik Sharif Haseefy Mohd. Lazim (m-62) juga berpunca gerakan Faisal.
Enam minit kemudian kedudukan menjadi 3-0 apabila gerakan satu dua Tchetche dan Manuel Ott disusuli dengan rembatan pemain Ivory Coast itu dari luar kotak penalti.
Faisal terus menjadi duri dalam daging buat Melaka United apabila hantarannya pada minit ke-75 disambar Tchetche untuk gol kedua peribadi dan keempat TFC.
Tchetche melengkapkan hatrik dengan bergaya apabila sekaligus menyudahkan umpanan Faisal pada minit ke-81 untuk memastikan kemenangan 5-0 memihak TFC.