Kredit Foto : TFC
TERENGGANU FC (TFC) mungkin terpaksa berpuas hati dengan hanya seorang pemain import baharu, Nurillo Tukhtasinov pada jendela perpindahan kali ini yang dibuka sehingga Ogos.
Menurut pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner, ianya berikutan kekangan kewangan kelab yang perlu menamatkan kontrak pemain import sedia ada jika mahu mendaftar pemain baharu.
Steinbruckner bagaimanapun berharap skuad Sang Penyu dapat memburu khidmat seorang lagi tonggak tempatan bagi memperkuatkan pasukan itu menghadapi baki musim ini.
“Sebagai jurulatih, saya mahu beberapa lagi pemain import antaranya di posisi serangan selain posisi pertahanan ekoran masalah kecederaan lutut Sardor Kulmatov.
“Namun ini bukan hanya mengenai saya sebaliknya bergantung kepada pihak pengurusan serta bajet. Seperti kehadiran Nurillo, kami perlu menggugurkan (Dumagoj) Pusic.
“Jadi jika mahu membawa masuk pemain baharu, kelab perlu menamatkan kontrak atau meminjamkan pemain (import) ke pasukan lain. Itu situasi kami sekarang,” katanya ditemui FLASH SUKAN, semalam.
Selain mengumumkan kehadiran Nurillo, TFC turut mengesahkan pengguguran Pusic dari pasukan itu selain penghijrahan Mohd. Faiz Nasir dan Azarul Nazarith Azhar secara pinjaman.
Sementara itu mengulas aksi bertemu PDRM FC di Stadium MBPJ, malam esok, Steinbruckner menjangkakan tentangan sengit bakal diberikan skuad The Cops yang hanya dibezakan dua mata.
“Keputusan diraih PDRM FC sejak hujung Mei lalu cukup baik dengan memenangi empat daripada lima perlawanan mereka termasuk mengalahkan Selangor dan Sabah di laman sendiri.
“PDRM FC tewas kepada Kedah, minggu lalu, hanya melalui sepakan penalti dan mereka sangat berdisiplin ketika beraksi.
“Kami tidak boleh ambil mudah dan perlu berada pada prestasi terbaik jika mahu mengutip tiga mata penuh dan kembali ke landasan kemenangan,” ujarnya lagi