KEMASUKAN pemain-pemain baharu dalam pasukan Terengganu FC mampu memberi variasi berbeza dan nilai tambah yang diperlukan agar mereka mampu mencapai sasaran yang diinginkan musim ini.

Pemain-pemain baharu seperti Safawi Rasid, Akyhar Rashid, Akram Mahinan, Manny Ott dan Ismahil Akinade mampu membantu pasukan Penyu untuk bersaing dengan pasukan seperti Johor Darul Ta’zim FC, Selangor FC dan Sabah FC.

Ismahil Akinade antara pemain baru yang baru sertai pasukan Terengganu FC musim ini.

“Kita pada musim ini kita tiada perancangan yang khusus tetapi semestinya kita mengharapkan dengan adanya penambahan pemain-pemain baharu yang muda, kombinasi pemain lama dan pemain baharu ini akan memberi variasi baharu dari segi persembahan pasukan dan juga nilai tambah untuk pasukan Terengganu FC dalam menghadapi saingan liga pada musim ini.

Sabri Abas yakin pemain-pemain baharu mampu membawa pasukan Terengganu FC ke tahap yang lebih tinggi.

“Kita sasarkan pasukan TFC untuk berada dalam kedudukan tiga teratas dalam Liga Super serta melayakkan diri ke perlawanan akhir sama ada Piala FA atau Piala Malaysia untuk musim ini.

“Ini merupakan cabaran baharu untuk pasukan dimana saya rasa semua tahu pada tahun lepas kita juga boleh mencabar pasukan JDT, Selangor dan Sabah jadi semestinya dengan kemasukan pemain-pemain baru ini, ia akan memberi nilai tambah dan juga prestasi tambahan untuk pasukan TFC bersaing dalam Liga Malaysia nanti,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, Sabri Abbas.

Pasukan dari pantai timur itu menamatkan musim di kedudukan ke-6 dalam carta liga serta melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu.