BEK kanan Terengganu FC (TFC), Azam Azmi Murad, berhasrat meneruskan rentak kemenangan ketika berkunjung ke Kuantan bertemu Sri Pahang dalam aksi Piala Malaysia pada Khamis.

Menurut pemain Harimau Malaya itu, skuad Sang Penyu sedia untuk membawa bekalan selesa meskipun menyedari bakal berdepan tugas getir menentang skuad Tok Gajah.

Azam Azmi berkata, kehadiran pemain naturalisasi, Lee Tuck dan Sergio Aguero pasti menambah bisa pasukan tuan rumah sekaligus TFC perlu berhati-hati dengan helah Sri Pahang.

“TFC turun dengan momentum sembilan kemenangan berturut-turut, walaupun Liga Super dan Piala Malaysia berbeza, kami boleh mengekalkan rentak jika beraksi seperti biasa.

“Sudah tentu Sri Pahang kali ini bukan pasukan sama yang kami hadapi dalam saingan liga terutama dengan kehadiran Tuck, Aguero, (Manuel) Hidalgo serta pemain tempatan mereka.

“Apapun saya dah rakan-sepasukan sedia menghadapi barisan serangan Sri Pahang untuk memperoleh keputusan positif sebelum aksi timbal balik,” jelasnya kepada FLASH SUKAN.

Menurut pemain berusia 21 tahun itu lagi, perjuangan TFC musim ini belum selesai meskipun sudah mara ke Piala AFC 2023 sambil menjadikan Piala Malaysia sebagai medan penebus kehampaan.

“Layak ke Piala AFC adalah kepuasan bagi kami namun TFC mahu menjulang kejuaraan dan Piala Malaysia menjadi sasaran kami setelah kempunan Piala FA,” ujarnya.

Sri Pahang akan melayan kunjungan TFC di Stadium Darul Makmur pada Khamis sebelum aksi timbal balik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, 1 November depan.