Foto : Terengganu FC

TERENGGANU FC (TFC) akan membuat rombakan pasukan pada aksi Liga Super bertemu Selangor di gelanggang sendiri, malam esok, susulan masalah kecederaan beberapa tonggak utamanya.

Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner, berkata, sekurang-kurangnya lima tonggak utama dihimpit masalah kecergasan selepas mengharungi jadual padat sejak dua minggu lalu.

Antaranya pemain sayap, Sony Norde, Nik Sharif Haseefy Mohd. Lazim, Norhakim Hassan, Engku Nur Shakir Engku Yacob dan tonggak pertahanan tengah, Shahrul Nizam Roshasni.

Jurulatih kelahiran Croatia itu turut mengakui, perubahan dalam kesebelasan utama itu wajar dibuat bagi menghadapi Bali United dalam aksi Piala AFC, Rabu ini, yang lebih diberi keutamaan oleh TFC.

“Saya terpaksa membuat rombakan terhadap kesebelasan utama dengah lima atau enam pertukaran pemain kerana tidak mahu mengambil risiko dengan tahap kecergasan mereka.

“Karakter pemain akan teruji dalan tempoh genting ini namun saya harap siapa pun yang diturunkan akan mengambil peluang untuk memberikan persembahan 100 peratus.

“Piala AFC dan Piala Malaysia mungkin lebih menjadi keutamaan ketika ini berbanding Liga Super. Jadi, saya akan menukar strategi bertemu Selangor sebelum ke Indonesia,” katanya ditemui FLASH SUKAN. 

Tomislav Steinbruckner.

Selepas 21 perlawanaan, TFC di tempat keenam liga mengumpul 35 mata, dengan peluang masih terbuka untuk memburu sekurang-kurangnya tiga kedudukan terbaik.

Menurut Steinbruckner, walaupun turun dengan skuad tempang, dia tetap menuntut skuad kendaliannya mengekalkan rekod tanpa kalah sejak 12 perlawanan lalu.

Katanya, pemain yang akan diturunkan esok tidak boleh menganggap pertemuan dengan Selangor sebagai tidak penting walaupun kemenangan belum dapat mengubah kedudukan TFC dalam liga.

“Selain meningkatkan moral, kemenangan ke atas Selangor malam esok adalah keputusan terbaik menjelang aksi Piala AFC dan separuh akhir Piala Malaysia bulan depan,” katanya.