PENGENDALI Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner nyata kecewa dengan kekalahan 2-1 keatas Negeri Sembilan FC selepas menguasai permainan dan mencipta peluang namun gagal menyudahkan peluang terhidang.
Dia juga nyata tidak gembira dengan beberapa kesilapan individu yang dilihat menjadi punca pasukan lawan dapat menjaringkan gol walaupun Terengganu mengawal perlawanan sejak awal permainan.
“Malangnya kami kalah. Kami bermain baik dengan mencipta peluang yang bagus. Kami sepatutnya sudah menyudahkan perlawanan pada separuh masa pertama dengan pelbagai peluang terhidang.
“Selepas Negeri Sembilan berjaya menjaringkan gol, kami berjaya menyamakan kedudukan dan tunjuk karakter yang positif. Kami bermain baik pada separuh masa kedua tetapi selepas ketinggalan 2-1 kami mula kurang sabar dan mula bermain lebih pantas namun masih gagal menjaringkan gol,” katanya ketika ditemui dalam sidang media selepas perlawanan.
Diajukan FLASH SUKAN adakah pemain tengahnya, Liridon Krasniqi dan Habib Haroon berjaya menggerakkan bola lebih pantas seperti yang dimahukan, Tomislav berkata ianya berlaku tetapi masih tidak seperti apa yang dia mahukan.
“Menggerakkan bola lebih pantas itu adalah idea kami tetapi mereka masih tidak bermain secara mudah seperti yang saya mahukan. Namun kami masih berjaya mencipta peluang dengan lebih banyak hantaran lintang tetapi kadang kala ianya tidak berjaya dan beberapa kesilapan individu menjadi punca lawan berjaya menjaringkan gol,” tambahnya.
Kekalahan itu menyaksikan Terengganu kini sudah tewas tiga kali dari lima perlawanan awal dengan hanya memungut empat mata dan rehat dua minggu ini pastinya digunakan barisan kejurulatihan untuk mengkaji kelemahan menjelang aksi bertemu Kelantan United pada 31 Mac 2023.