KETUA jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner sedikit terkilan apabila pasukannya dibolosi pada minit terakhir sekaligus tidak berjaya membawa pulang tiga mata penuh selepas diikat Penang FC 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya pada Ahad.
Pengendali asal Croatia itu juga merehatkan majoriti tonggak utamanya dan berharap pemain yang direhatkan itu lebih bersedia untuk menghadapi perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 menentang Johor Darul Ta’zim pada Jumaat di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Tomi bertindak menurunkan majoriti pemain muda daripada skuad Terengganu FC II dan berhasil mendahului 1-0 hasil jaringan Syahmi Zamri pada minit 67’ namun terpaksa akur dengan keputusan 1-1 selepas Rafael Vitor menyempurnakan penalti pada minit terakhir perlawanan.
“Saya ucapkan tahniah kepada pemain-pemain kerana pada saya mereka sudah berikan persembahan yang maksimum. Kami menurunkan beberapa pemain muda daripada TFC II kerana saya mahu merehatkan beberapa pemain penting untuk perlawanan akhir pada Jumaat nanti.
“Ini adalah pengalaman yang bagus untuk mereka, saya tak berpuas hati dengan satu mata menerusi penalti itu, saya sedikit sedih tetapi tidak mengapa, itulah bola sepak,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Antara tonggak utama yang direhatkan dan langsung tidak tersenai dalam senarai pasukan adalah Sony Norde, Ivan Mamut, Habib Haroon dan Norhakim Hassan manakala beberapa pemain yang beraksi ketika menentang Central Coast Mariners pada Rabu lalu pula masuk sebagai pemain gantian.
Dalam sidang media yang sama, Tomislav turut menegaskan tumpuan pasukannya adalah saingan Piala Malaysia dan Piala AFC sepertimana dibincangkan dengan pihak pengurusan sekitar dua bulan lepas.
Namun begitu, dia tetap mengharapkan dapat mempertahankan kedudukan keenam dalam saingan Liga Super menjelang perlawanan terakhir liga menentang Perak FC pada 17 Disember di Gong Badak.