SEBAGAI persiapan menghadapi saingan liga peringkat daerah dan perlawanan persahabatan antarabangsa, pasukan Thai Kedah FC bakal mengadakan pemilihan terbuka bagi memilih pemain-pemain baru mewakili skuad bawah 18 (B-18) tahun.

Pemilihan terbuka pemain akan diadakan dalam masa terdekat dan mereka yang berminat boleh mengikuti pautan Group WhatsApp.

Pengurus pasukan, M Pala Murgu menjelaskan pasukannya mahu menggerakkan kembali pasukan sebaik berakhirnya era pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan Malaysia.

“Kami mencari pemain yang berdedikasi, berdisiplin dan meminati sukan bola sepak. Tiada elaun ataupun penajaan tetapi akan ada rombongan bola sepak, perlawanan persahabatan dan juga akan sertai liga liga bola sepak,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

 

Menurut Pala Murgu, pihaknya akan membuka penyertaan kaum lain bagi mewujudkan suasana harmoni sesama pemain dan sehingga kini slot kemasukan pemain adalah penuh.

Jelasnya lagi, para pemain nanti akan berlatih di Sena Football Sentral, di Pokok Sena, Kedah yang merupakan padang bola sepak rumput sintetik berkualiti Fifa milik sendiri.

“Jangan lupa kejohanan 7 sebelah Piala Sena Sentral B-18 yang diadakan 17 Mac 2023. Format secara kumpulan dan dua terbaik layak ke peringkat kalah mati,” ujarnya.

 

Thai Kedah FC ditubuhkan sejak tahun 2006 yang diasaskan Boon Sis Den Sing dan rakan rakan seperjuangannya.

Kini, legasi mereka sedang disambung oleh generasi muda berbakat dari seluruh pelosok daerah dan negeri.