KETUA pasukan Thailand, Theerathon Bunmathan percaya pasukannya akan muncul juara Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 di laman sendiri selepas berjaya mengikat Vietnam 2-2 pada aksi final pertama di Stadium My Din, Hanoi pada Jumaat.

Dia juga menganggap dua gol di tempat lawan itu akan menaikkan lagi semangat para pemain skuad Gajah Perang untuk muncul juara dibantu sokongan 25,000 penyokong di Stadium Thammasat pada Isnin.

“Kami tidak berputus ada dan berjaya menjaringkan dua gol di tempat lawan. Ianya adalah satu keputusan yang baik dan kami tidak mahu memikirkan tentang gol penyamaan yang dijaringkan pada hujung perlawanan. Thailand akan muncul juara kejohanan ini di hadapan penyokong kami sendiri,” kata pemain berusia 32 tahun itu.

 

Theerathon muncul wira Thailand pada perlawanan pertama itu apabila dua bantuan jaringannya memastikan anak-anak buah Mano Polking kini mempunyai dua kelebihan berbanding Vietnam menjelang aksi final kedua.

Kelebihan pertama adalah kelebihan gol di tempat lawan manakala kelebihan kedua adalah beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri dan berpeluang menjulang piala berprestij itu di laman sendiri.

Thailand, juara enam kali kejohanan dwi tahunan Asia Tenggara itu berpeluang menjulang piala di laman sendiri buat kali ketiga selepas melakukannya di Stadium Rajamangala, Bangkok pada tahun 2000 dan 2016.

Manakala empat lagi kejuaraan pada 1996, 2002, 2014 dan 2020 masing-masing dimenangi Thailand di Singapura, Indonesia, Malaysia dan Singapura.