TAKHTA pasukan bola sepak nombor satu rantau Asia Tenggara kini menjadi milik Thailand selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) melakukan kemaskini ranking dunia pada Khamis.

Skuad Gajah Perang itu berjaya merampas kedudukan nombor satu Asia Tenggara selepas mara ke Pusingan 16 terbaik apabila muncul naib juara Kumpulan F di belakang Arab Saudi pada saingan Piala Asia 2023.

Kejayaan mencatat satu kemenangan dan keputusan seri itu menyaksikan Thailand meraih tambahan 29.97 mata sekali gus melonjak 12 anak tangga untuk kini berada di ranking ke-101 dunia.

Kemaskini ranking ini juga turut menyaksikan Vietnam yang menduduki tangga pertama Asia Tenggara sebelum ini jatuh ke kedudukan kedua selepas mengharungi kempen yang memalukan di Qatar tanpa sebarang kemenangan.

Skuad The Golden Star kehilangan 41.00 mata apabila tewas ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan yanh menyaksikan mereka jatuh 12 anak tangga dari kedudukan ke-94 kini di tangga ke-105 dunia.

Kejatuhan ranking ini turut menyebabkan Vietnam terkeluar daripada kelompok 100 pasukan ranking dunia buat kali pertama selepas lima tahun dan sudah pasti merentap ego yang selama ini disandang jaguh Asia Tenggara itu.

Sementara itu skuad Harimau Malaya pimpinan Kim Pan-gon kekal sebagai pasukan ranking ketiga Asia Tenggara meskipun jatuh dua anak tangga ke kedudukan 132 selepas berjaya membawa pulang satu mata berharga dengan mengikat gergasi Asia, Republik Korea.

Kedudukan pasukan-pasukan Asia nggara yang lain pula adalah seperti berikut; Filipina kini di ranking ke-139 manakala Indonesia di ranking ke-144, Singapura di ranking ke-155 diikuti Myanmar di ranking ke-162, Kemboja di ranking ke-179, Laos di ranking ke-189, serta Brunei di ranking ke-194 dan terakhir Timor Leste di ranking ke-200 dunia.

Kemaskini Ranking Dunia oleh FIFA yang seterusnya dijadualkan pada 4 April 2024 dengan dua keputusan positif menentang Oman pada 21 dan 26 Mac mungkin akan membantu memperbaiki ranking Harimau Malaya menghampiri sasaran kelompok 120 terbaik.