THAILAND tidak menghiraukan hajat besar Malaysia sebagai tuan rumah Piala Dunia Sepak Takraw Istaf 2024, apabila melaungkan keazaman, menyapu bersih semua tiga kejuaraan di Stadium Tasik Titiwangsa.
Tekong berpengalaman, Siriwat Sakha tidak menyembunyikan lagi hajat 12 pemain mereka ke Kuala Lumpur kali ini dan kelihatan begitu yakin memenangi acara beregu (double), regu dan berpasukan.
“Saya amat bersemangat dan gembia tiba di Malaysia. Ini adalah Piala Dunia kedua saya dan saya akan memberikan yang terbaik.
“Kami sedar Malaysia adalah lawan paling sukar untuk Thailand tetapi kami akan cuba sebaiknya memenangi semua tiga acara,” kata Siriwat, yang ditemui pada Perasmian Piala Dunia Sepak Takraw Istaf di ibu negara.
Menurutnya, kehadiran semula Seksan Tubtong ke dalam pasukan pasti menambah tonik dalam acara beregu.
“Seksan pemain yang sangat bagus, dia akan membantu kami dalam acara beregu.”
Katanya, Thailand kali ini menampilkan barisan pemain yang seimbang iaitu enam pamain senior yang banyak berpengalaman manakala enam lagi muka baharu.
Namun, dia yakin dengan kehadiran muka-muka baharu yang berbakat dan berpengalaman menyertai kejohanan-kejohanan kompetitif tempatan.
Thailand dan Malaysia dipisahkan daripada pertembungan pusingan awal.
Dalam acara beregu, Malaysia berada dalam kumpulan A bersama Jepun dan Brunei manakala Thailand dalam kumpulan D bersama Singapura dan Korea Selatan.
Dalam acara regu pula, skuad negara diundi dalam kumpulan B bersama China dan Brunei manakala Thailand dalam kumpulan A bersama Vietnam dan Indonesia.
Sementara dalam acara berpasukan, Malaysia dalam kumpulan C bersama Jepun dan Brunei manakala Thailand dalam kumpulan B bersama India dan China.
Tahun ini adalah penganjuran keempat Piala Dunia Sepak Takraw Istaf dianjurkan.
Pada penganjuran sulung di Kuala Lumpur 2011, dan Hyderabad, India 2017, Thailand muncul lelaki menewaskan Malaysia di final.
Manakala di Daejeon City, Korea Selatan 2022, Thailand menguasai semua acara, regu, kuadran lelaki dan wanita.
Pada kempen Piala Dunia 2024, hanya tiga kategori dipertandingkan iaitu beregu, regu dan berpasukan lelaki.
Kejohanan ini juga buat julung kalinya diperkenalkan piala pusingan bagi acara berpasukan yang ditaja Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).
Kejohanan ini juga menjadi pemula bagi kiraan 15 mata dengan satu servis selain, mata ranking akan diperkenal mengikut kedudukan pasukan di Piala Dunia ini.