THAILAND dengan bangganya telah memperkenalkan arena futsal kelas dunia milik mereka menjelang aksi pembukaan Kejohanan Piala Asia Futsal AFC 2024 yang bermula dari 17 hingga 28 April melibatkan 16 pasukan.

Dua venue bakal menjadi gelanggang rasmi dengan Stadium Tertutup Huamark akan menjadi gelanggang pembukaan pada 17 April manakala Bangkok Arena pula akan menjadi gelanggang perlawanan akhir pada 28 April.

Stadium Tertutup Huamark memiliki kapasiti 15,000 penonton manakala Bangkok Arena pula berkapasiti 12,000 tempat duduk sekaligus memberikan peluang kepada lebih ramai penyokong untuk hadir memberikan sokongan.

Stadium Tertutup Huamark sedia jadi gelanggang pembukaan Piala Asia Futsal AFC 2024

Menerusi gambar yang dimuatnaik di laman sosial rasmi Futsal Thailand, negara itu nyata berbangga dengan fasiliti futsal mereka yang bertaraf dunia dan sesuai untuk menjadi tuan rumah buat 16 pasukan futsal terbaik Asia.

Piala Asia Futsal AFC 2024 akan menyaksikan 16 pasukan bersaing merebut kejuaraan selain empat slot akan mewakili Asia ke Piala Dunia Futsal Fifa 2024 di Uzbekistan dari 14 September hingga 6 Oktober 2024.

Kumpulan A menyaksikan tuan rumah Thailand bakal berentap dengan China dan dua lagi wakil Asean, Vietnam dan Myanmar manakala Kumpulan B pula dibarisi Uzbekistan, Arab Saudi, Iraq dan Australia.

Skuad futsal Thailand letak sasaran layak ke Piala Dunia Futsal Fifa 2024 di Uzbekistan

Kumpulan C dihuni Jepun, Tajikistan, Republik Korea dan Republik Krygyz serta Kumpulan D menemukan Iran, Kuwait, Bahrain dan Afghanistan dengan dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke peringkat suku akhir.

Sebagai rekod, edisi terakhir Piala Asia Futsal AFC pada 2022 di Kuwait menyaksikan Jepun muncul juara menewaskan Iran manakala Uzbekistan ketiga dan Thailand keempat dan kini Bangkok bersedia untuk memahkotakan juara baharu futsal Asia.