KETUA Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe memilih Thailand sebagai destinasi bagi menjalani persahabatan pra-musim terakhir sebelum bermulanya Liga Malaysia secara rasmi pada 24 Februari ini.

Tambahnya lagi, keputusan tersebut dibuat setelah meneliti suasana liga di negara Gajah Perang itu mempunyai struktur liga yang lebih kompetitif sekaligus dapat membantu pasukan berkembang dengan lebih positif.

“Kita pilih Thailand kerana kita tahu liga di sana cukup kompetitif dan kami mahukan perlawanan kompetitif dan diharap semua berjalan dengan lancar,” jelasnya pada sidang media pasukan pada Jumaat.

Dalam pada itu, jurulatih berasal dari Alor Setar, Kedah menegaskan bahawa pemain kini berada dalam momentum yang cukup baik dan perlawanan persahabatan pra-musim ini menjadi medan terbaik untuk pemain menunjukkan kemampuan sebenar mereka.

“Semua pemain dalam keadaan cukup baik dan ini berita gembira buat pasukan. Saya harap dapat kekalkan prestasi pasukan dan perlu sedikit masa untuk kaji perancangan pasukan dan pra musim bakal tentukan prestasi mereka,” jelas Cheng Hoe.

Bagi saingan Liga Super 2023 yang semakin hampir membuka tirai, Cheng Hoe percaya skuad kendaliannya kini bersedia dari segi mental dan fizikal bagi mengharungi musim yang dijangka mencabar tahun ini.

“Kalau lihat semua pasukan begitu serius dengan persiapan. Saingan liga lebih kompetitif setiap musim dan kami bersedia dari segi fizikal dan mental untuk musim tahun ini yang panjang,” tambahnya.