PENGENDALI Thailand, Alexander Mano Polking menyatakan Thailand adalah pasukan bola sepak terbaik di Asia Tenggara selepas mereka menewaskan Vietnam untuk muncul juara Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 pada Isnin.

Jurulatih Brazil-Jerman itu juga memuji barisan pemainnya yang mempunyai mental yang kuat serta dibarisi pemain yang hebat dengan memilih kapten pasukan, Theerathon Bunmathan sebagai pemain terbaik kejohanan.

Dia juga mahukan lebih pelaburan dalam Liga Thailand untuk menjadikannya lebih baik sekaligus memberikan ganjaran kepada skuad kebangsaan kerana dia mahu membawa Thailand lebih dari kejuaraan di peringkat Asia Tenggara.

“Kejuaraan ini sangat penting. Kami sentiasa pasukan nombor satu dan kami mahu pergi lebih dari peringkat Asia Tenggara. Thailand perlu membuktikan kemampuan mereka di kejohanan yang lebih besar seperti Piala Asia berhadapan pasukan yang lebih kuat seperti Jepun, Korea Selatan dan UAE. Kami perlu bekerja lebih kuat dan memperbaiki pasukan.

“Kami mempunyai pelan permainan yang baik untuk final kedua ini kerana Vietnam perlukan kemenangan untuk muncul juara. Sudah pasti mereka mampu juara jika kami seri 3-3 tetapi keadaan itu jarang berlaku pada perlawanan akhir. Kami berjaya mengawal permainan dan cuba menjaringkan gol.

“Jaringan Theerathon membantu meningkatkan semangat para pemain kerana Vietnam perlu menjaringkan dua lagi gol. Ini bukanlah perlawanan yang hebat tetapi persembahan setiap pemain perlu diberikan pujian. Kami dapat apa yang kami mahukan iaitu kemenangan,” katanya selepas perlawanan.

 

Dengan dua gol di tempat lawan selepas final pertama dan kelebihan beraksi di laman sendiri, Polking tetap mengekalkan kesebelasan utama dan akhirnya Theerathon berjaya menjaringkan gol pada minit ke-25 menerusi rembatan dari luar kotak penalti.

Selepas jaringan itu, Thailand mengawal tempo permainan dan berjaya mengekang segala ancaman Vietnam sehingga tamat perlawanan untuk kemenangan 3-2 secara agregat di Stadium Thammasat, Bangkok

Polking turut mengulangi sentimen bahawa dia akan merindui ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-seo yang mengakhiri tugasannya bersama Vietnam apabila selesai kejohanan ini dan mengucapkan selamat maju jaya buat Hang-seo.

“Dia adalah jurulatih yang bagus. Saya ucapkan selamat maju jaya dalam bab baharu kerjayanya. Saya menghargai semangatnya dalam bola sepak serta dedikasinya kepada bola sepak Vietnam,” tambah Polking.

Kejayaan ini adalah kejuaraan ketujuh Thailand dalam Kejohanan Piala AFF manakala yang kedua berturut-turut buat Polking di rantau ini sebagai pengendali Thailand.