BURUAN emas tetap menjadi sasaran utama pasukan sepak takraw lelaki di Sukan SEA 2023 meskipun Thailand sentiasa muncul penghalang.
Bagaimanapun, Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan percaya jika pemain negara dapat fokus dan mengekalkan prestasi tiada yang mustahil melakar sesuatu pada edisi dwitahunan kali ini.
“Untuk lelaki acara berpasukan. Insya Allah kita dapat pingat perak sebab hanya ada tiga negara yang sertai, Malaysia, Thailand dan Kemboja.
“Semalam kita kalah 2-1 dengan Thailand, dan hari ini menang 3-0 ke atas Kemboja. Pingat perak pasti dalam tangan kerana Thailand bertemu tuan rumah aksi terakhir,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN di Basketball Hall NSTC dekat Stadium Olimpik, Phnom Penh di sini.
Dalam pada itu, Mohd Sumali membayangkan negara berdepan kesukaran dalam acara double lelaki memandang terdapat dua kumpulan untuk ke separuh akhir.
“Kalau tiada apa-apa aral melintang, kita dapat ke separuh akhir. Semua bergantung kepada tahap persembahan dan sekiranya berjalan baik kita dapat pergi ke final pada Isnin pagi.
“Dan saya percaya kita masih ada peluang untuk dapatkan emas yang disasarkan,” ujarnya.
Kem takraw akan memulakan acara regu pada Selasa ini dan Sumali melihat Thailand satu pasukan yang bakal disaingi pemain Malaysia.
“Kita sekali lagi bertemu musuh tradisi Thailand, pada permainan pertama. Kalau dapat kalahkan lawan, Insya-Allah peluang itu ada,” katanya.