GOL tunggal penyerang gantian, Ferris Danial Mat Nasir memastikan Perak FC beroleh kemenangan menumpaskan Selangor FC II dalam saingan Liga Premier 2022 di Stadium UiTM, Shah Alam sebentar tadi.

Perak yang bermula tanpa Stipe Plazibat di kesebelasan utama menguasai 15 minit awal permainan.

Dua percubaan daripada Luciano Guaycochea hampir sahaja membuahkan hasil tetapi sedikit gopoh dengan terus melakukan percubaan yang jauh tersasar.

Manakala, rembatan deras Luciano m-33 dari luar kotak penalti berjaya diselamatkan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Percubaan Indra Putra Mahayuddin m-44 pula melayang tinggi ketika peluang menjaringkan gol terbuka luas.

Bersambung babak kedua, Perak FC melakukan tiga pertukaran serentak memasukkan Plazibat, Aiman Khairul Yusni dan Ferris Danial dalam usaha memecahkan kebuntuan jaringan.

Gol dicari-cari Yob menjelma pada minit ke-77 oleh Ferris Danial.

Percaturan Yusri Che Lah menjadi apabila Ferris Danial akhirnya membalas kepercayaan untuk jaringan The Bos Gaurus m-77 untuk menceriakan penyokong Yob yang hadir.

Kemenangan yang dilakar pada aksi ke-13 adalah kali keempat buat Perak musim ini.