PERAK FC terus mengorak langkah apabila berjaya mengikat kapten skuad bawah 23 tahun (B-23) Kyrgyzstan, Adilet Kanybekov.

Kehadiran pemain kelahiran Kyrgyzstan itu, yang pernah bersaing di temasya Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China, menjadi pilihan ketua jurulatih Yusri Che Lah bagi memastikan sengat skuad The Bos Gaurus lebih tajam.

Kanybekov dilihat mampu memberi nilai tambah dalam pasukan apabila akan digandingkan dengan Luciano Guaycochea selaku ‘jeneral’ pasukan dalam mengibarkan cabaran musim ini.

Pemain baharu Perak diperkenal di Ipoh pada Sabtu malam.

Ketua Pegawai Eksekutif Interim Perak FC, Bobie Farid Shamsudin berkata, sebanyak 10 pemain baru bakal bersama menyertai mereka termasuk beberapa nama yang telah diumumkan sebelum ini.

“Kita dah lengkapkan (senarai 10 pemain). Yang lain akan kita umum selepas mereka lepas ujian perubatan.

“Ia termasuklah lagi tiga pemain import,” katanya kepada pemberita semasa Karnival Pelancaran Jersi ‘Home’ Perak’ FC 2024/2025 di Dataran Majlis Ipoh pada Sabtu malam.

Kanybekov menjadi pemain kelima yang diumumkan Perak FC setelah sebelum ini mengumumkan muka baharu iaitu Tommy Mawat Bada (Negeri Sembilan FC); Ariff Ar-Rasyid Ariffin (Kelantan United); Mohamad Ramadhan Ab Hamid (PDRM FC) dan Nur Azfar Fikri Azhar (Terengganu FC).

Pemain ke-12 The Bos Gaurus sentiasa ada di belakang pasukan.

Dalam pada itu, Bobie mendedahkan Perak akan menjalani latihan pramusim bermula pada 1 Mac depan serta merancang mengadakan siri perlawanan persahabatan di sebuah negara Asia.

Katanya lagi, ia termasuklah jelajah ke seluruh daerah negeri ini bertemu peminat setia yang tidak henti-henti menyokong pasukan.

“Perancangan untuk perlawanan persahabatan dan sebagainya masih lagi dalam rancangan. Kalau ada rezeki, mungkin kita akan ke sebuah negara Asia. Kalau dapat support daripada penaja dan sebagainya, Insya Allah kita akan buatlah.

Penuh sesak kehadiran orang ramai di Dataran MBI untuk melihat pelancaran jersi home Perak FC. 

“Tapi pramusim mungkin akan selepas raya dan kita juga akan buat jelajah negeri Perak bawa semua pemain untuk bertemu dengan peminat dan kita akan cuba buat tiga, empat tempat sebelum puasa.

“Selepas raya kita akan sambung ke daerah lain,” katanya.

Dengan prestasi terkini dan sokongan penyokong yang setia tidak mustahil Perak FC mempunyai potensi untuk menjadi antara pasukan utama. memberikan saingan Liga Super kali ini.