PERAK FC (PFC) tidak menunggu lama bagi memperbaharui kontrak Yusri Che Lah sebagai pengendali untuk saingan Liga Super 2024.

Menerusi perkongsian klip video kelab berkenaan, selain Yusri, jurulatih skuad B-23 dan B-20 Perak, Chan Wing Hoong dan Shahril Nizam juga dilanjutkan kontrak.

Prestasi meningkat yang begitu pesat dilakar The Bos Gaurus sejak kebelakangan ini mendorong pengurusan Perak FC menyusun awal skuad termasuk berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia.

“Syukur ke hadrat Ilahi kerana memberi ruang dan peluang untuk menyertai Perak. Saya bersyukur kepada Allah atas kepercayaan yang tertinggi kepada saya untuk mengendalikan kelab pada masa hadapan. Semoga Allah menjadikan yang terbaik untuk masa hadapan bersama PFC,” katanya.

Pengendali kelahiran Perlis berusia 47 tahun itu mengakui perjalanan pertandingan liga musim depan tidak akan sama lagi berbanding tahun ini kepada para pemain, namun mereka berazam melakukan yang terbaik dan mencapai sasaran yang terbaik.

“Kerana dengan sasaran pengurusan dan KPI ditetapkan dan usaha yang kita lakukan, kita perlu berusaha untuk mencapai sebanyak mungkin beberapa pemain baharu bersama pasukan.

“Cuma dalam tempoh terdekat ini kita harus mengenalpasti apa harus dilakukan terutama bagi menyaingi musim yang akan datang lebih mencabar,” katanya.

Sebaik saingan liga bersambung selepas berakhir Pestabola Merdeka 2023, Perak akan berdepan Johor Darul Ta’zim untuk aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Ipoh pada 19 Oktober depan.