SETIAUSAHA Kehormat Perak The Bos Gaurus MOBs, Hakimi Halim memberi gambaran Perak FC bakal mendapat tajaan besar dari syarikat terkemuka yang mungkin diumumkan pada Rabu.

Malah Hakimi turut jangkakan beberapa muka baharu bakal menghiasi pasukan The Bos Gaurus itu dalam pengumuman tersebut.

“Apa yang kita boleh jangkakan Perak FC bakal mendapat tajaan daripada satu syarikat besar. Seperti yang diuar-uarkan di media sosial, iaitu Syarikat Petronas akan menaja pasukan Perak FC dan ada beberapa muka baharu yang akan diumumkan.

“Tetapi ianya belum diputuskan secara rasmi oleh pemilik dan juga Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sementara Perak FC, Bobie Farid Shamsudin.

“Hari ini penyokong menyambut baik apa sahaja yang pemilik dan juga apa yang Perak FC lakukan walaupun pasukan Perak FC berada di tangga tercorot liga perdana.

“Kami sebagai penyokong menyokong apa sahaja yang diumumkan dan apa yang akan dilakukan. Kami sangat berbangga kerana pasukan berada di bawah XOX dan mempunyai kewangan yang stabil,” ujarnya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Sementara itu, dari sudut sokongan penyokong, dari seluruh daerah di Perak akan dibuat untuk sama-sama hadir ke stadium sebagai pemain ke-12 skuad Seladang.

“Kami memang bersedia dan sentiasa mengikuti away day dan perlawanan home.

“Kita akan buat satu trip daerah, macam yang semua tahu, masa Liga Perdana berlangsung, kita sentiasa berada dari Kuala Kangsar, dari Teluk Intan, dari Ipoh, kami sama-sama bergabung untuk menyokong pasukan,”jelasnya.

Mengulas mengenai perlawanan Perak FC bertemu PIB FC, penyokong akan tetap berada di belakang pasukan kerana teruja melihat teraju Lim Teong Kim (LTK) sebagai ketua jurulatih baharu The Bos Gaurus.

“Saya yakin dengan aura yang ada pada penyokong Perak, dia mampu untuk bawa perubahan kepada pemain yang ada.

“Ironinya pemain yang ada di Perak FC ketika ini adalah 70 peratus pemain yang tidak ada nama.

“Pemain-pemain yang ada dalam pasukan Perak ini mampu digilap. Saya yakin coach LTK mampu menjadikan Perak FC satu kilang melahirkan bakat-bakat muda.

“Coach LTK ini orang yang bertanggungjawab di bawah NFDP, AMD, bertanggungjawab dalam pembangunan bola sepak di Malaysia. Jadi sekarang dia berada di Perak, mustahil jika dia tidak mampu.

“Saya yakin dia seorang yang mampu membawa perubahan kepada pasukan Perak FC, dan membawa pemain muda dari tidak berani kepada berani. Akan juga menjadi bintang-bintang yang akan dicemburui pasukan-pasukan lain,” tambahnya.