KETUA jurulatih Perak FC, Lim Teong Kim menjelaskan anak buahnya memerlukan masa untuk mendapatkan rentak dan berada dalam prestasi terbaik kerana para pemain baru dihimpun pada 5 Januari lepas.
Ujarnya, mereka sudah mempamerkan permainan yang baik dan berharap penyokong terus meniupkan semangat kepada pasukan.
“Secara jujur penyudah kami belum pada tahap optima. Tapi kami menunjukkan satu usaha yang baik dan pemain bekerja keras mencapai matlamat.
“Semua orang perlukan masa. Kami juga perlukan masa, harap anda (media) dan semua peminat bagi masa.
“Pasti waktunya akan tiba (kejayaan) untuk Perak,” katanya diminta mengulas persembahan pemain dan keputusan aksi perlawanan ujian.
Bekas pembantu jurulatih bawah 19 tahun Bayern Munich itu tidak menafikan kebimbangan para peminat selepas tewas mengejut kepada UiTM FC 2-1 dalam aksi pemanas badan di Ipoh baru-baru ini.
“Semua orang bimbang mereka (pemain import) tidak menjaringkan gol. Sekalipun Cristiano Ronaldo yang bersama Manchester United, juga perlukan masa.
“Hadi Fayyadh pun perlukan masa. Harap peminat bersabar dan terus sokong kami,” ujarnya belum lagi memutuskan barisan terbaik The Bos Gaurus musim ini.
Pada Jumaat malam, Perak berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas ATM dalam aksi perlawanan ujian yang dihadiri kira-kira 1,097 penonton.