AURA gema penyokong The Bos Gaurus yang hadir ke Stadium Perak berjaya membakar pemain Perak FC namun tetap gagal meraih kemenangan ke atas Terengganu FC II apabila terikat tanpa jaringan di Ipoh.
Tanpa menunggu lama sebaik tiupan wisel pertama, Perak terus menguji gawang pelawat dan dua kali percubaan nyaris membuahkan gol sepanjang babak pertama.
Percubaan Hakimi Mat Isa ditolak keluar Syed Muhammad Nasrulhaq manakala rembatannya selepas itu terkena palang.
Kehadiran penonton juga begitu baik apabila seramai 4,957 hadir pada pertemuan malam ini.
Bersambung babak kedua, beberapa pertukaran dilakukan tuan rumah dalam usaha memecahkan kebuntuan jaringan termasuk kemasukan Stipe Plazibat dan Ferris Danial Mat Nasir.
Perlawanan sedikit tegang dengan layangan kad kuning diberikan kepada kedua-dua pasukan termasuk kad merah diterima pegawai pasukan Perak FC di bangku simpanan, Vijay Babu Subramaniam.
Selepas mengharungi 12 perlawanan, Perak FC kini baru mengutip satu mata.
The Bos Gaurus hanya melakar tiga kemenangan dan kalah lapan daripada pertemuan terdahulu.
Kemenangan terakhir dicatat skuad bergelar Kejor Yop Skor adalah ketika mengalahkan Kelantan United 1-0 pada 25 Jun lepas.