PENGENDALI Perak FC, Yusri Che Lah berpuas hati akan prestasi anak buahnya yang kian melonjak pada babak kedua perlawanan menentang Selangor FC, dan menegaskan bahawa mereka tidak perlu malu meskipun akhirnya tewas 2-1.
Aksi Liga Super itu berlangsung di Stadium MBPJ dan menyaksikan Perak FC turun menjadi pasukan pelawat yang membawa harapan besar untuk mendapatkan tiga mata penuh walaupun sedar akan tentangan yang bakal diterima.
Yusri mengakui bahawa Selangor FC telah berusaha mempamerkan aksi cemerlang dan lebih agresif, namun tidak menafikan bahawa pasukannya telah berjaya mendominasi perlawanan semasa separuh masa kedua.
“Walaupun kami tewas, kami tidak perlu berasa malu kerana 45 minit babak kedua adalah dalam tangan kami. Saya boleh katakan, babak kedua kami berjaya mendominasi perlawanan dan cuba bermain sehabis baik.
“Pada separuh masa pertama pula, kita cuba untuk mengawal perlawanan dan posisi tetapi ada beberapa momen yang tidak menjadi. Jadi saya bersetuju bahawa babak pertama kami banyak memberi ruang kepada Selangor.
“Saya akui bahawa keputusan seri adalah lebih baik tetapi Allah lebih mengetahui perjalanan pasukan Perak,” ujarnya selepas perlawanan Liga Super di Stadium MBPJ pada Ahad.
Dalam masa yang sama, Yusry juga sempat memuji aksi pemain seperti penjaring gol malam ini, Azfar Fikri, Sunday Afolabi dan pemain lain yang telah bertungkus lumus menghasilkan aksi memberangsangkan daripada sebelumnya.
Skuad The Bos Gaurus akan berehat panjang sebelum menyambung aksi Liga Super menentang Penang pada 13 Julai depan, manakala Selangor FC akan berdepan Kuching City FC bagi aksi suku akhir Piala FA 2024.