FOTO : Kuching City FC

KUCHING City FC telah membuat langkah yang pantas dan serius dengan mendapatkan khidmat Khairul Azman Mohamed, yang dikenali sebagai salah seorang bekas penjaga gol terbaik Malaysia era 90-an.

Selepas bersara sebagai pemain, Khairul Azman memilih untuk terus terlibat dalam dunia bola sepak dengan membawa pengalaman dan pengetahuan yang luas ke dalam peranan baru sebagai jurulatih penjaga gol.

Keputusannya untuk menyertai Kuching City FC menandakan satu langkah penting dalam kerjayanya sebagai jurulatih untuk saingan Liga Super musim 2024/25.

“Selamat datang. Dengan segala pengalaman dan kepakaran peringkat kebangsaan anda, kami sangat teruja untuk menyambut anda sebagai jurulatih penjaga gol baharu kami.

“Pandangan dan bimbingan anda pasti akan meningkatkan prestasi pasukan kami di bahagian penjaga gawang,” kata kenyataan kelab.

Berdasarkan hantaran itu, dapat difahami The Cats menyambut kedatangan Khairul Azman dengan penuh kehangatan, mengiktiraf pengalaman dan kepakarannya yang mampu memberi impak positif kepada pasukan.

Diharapkan, keprihatinan dan fokus Khairul Azman terhadap perkembangan penjaga gol akan membawa Kuching City ke tahap prestasi yang lebih tinggi dalam saingan tempatan dan mungkin antarabangsa.

Dia akan kembali bekerjasama dengan Aidil Sharin Sahak, pengendali kelab ketika pernah bersama-sama memerah keringat untuk Kedah Darul Aman FC dua musim lepas.